Rabu, 12 Jun 2019 | 2:46pm
MUKESH Dhawan

'Tawar produk takaful inovatif, lebih baik untuk B40'

KUALA LUMPUR: Pengendali takaful di negara ini digesa menawarkan produk yang lebih inovatif dan lebih baik untuk golongan berpendapatan rendah atau B40.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful Malaysia Bhd, Mukesh Dhawan, berkata pendekatan menyeluruh oleh penggiat industri untuk memenuhi segmen B40, dapat menyokong objektif Bank Negara Malaysia untuk penembusan takaful keluarga 25 peratus di bawah Pelan Sektor Kewangannya 2011-2020.

“Apabila negara berkembang, anda akan bimbang terhadap bahagian bawah piramid. Oleh itu, adalah sangat logik untuk Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan negara untuk memikirkan kumpulan B40,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditanya mengenai pendekatan syarikat takaful untuk meningkatkan kadar penembusan di kalangan kumpulan B40 untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

Awal tahun ini, kerajaan melancarkan Skim Perlindungan Kebangsaan mySalam B40, yang menyediakan perlindungan takaful untuk kumpulan itu.

Skim ini membantu mereka menangani kesulitan kewangan yang timbul apabila dimasukkan ke hospital kerajaan atau apabila mereka didiagnosis dengan salah satu daripada 36 penyakit kritikal.

Bagi pihak kami, Mukesh berkata Zurich Takaful telah membuka saluran yang bermakna untuk menjangkau kumpulan berkenaan dengan penawaran pelan berasaskan keperluan perlindungan mereka.

"Keperluan dan kesedaran mereka sudah meningkat. Oleh itu, kami baru-baru ini menjalin usaha sama dengan rangkaian runcit popular, MYDIN Mohamed Holdings Bhd (MYDIN), memandangkan kebanyakan segmen B40 membeli-belah di MYDIN," katanya.

Menerusi perkongsian 10 tahun dengan MYDIN, Zurich Takaful akan hadir di kedai runcit MYDIN terpilih yang terletak di kawasan separa bandar, bandar dan bandar kecil, yang membuka ruang kepada pelanggan untuk menyertai pelan takaful yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

-BERNAMA

Berita Harian X