Khamis, 13 Jun 2019 | 4:07pm

ERL komited teruskan perkhidmatan berkualiti

KUALA LUMPUR: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), pengendali perkhidmatan KLIA Ekspres, akan terus menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan, untuk kekal relevan dalam industri kereta api.

Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, berkata syarikat itu mahu meningkatkan penggunaan perkhidmatan kereta api sepanjang koridor berkenaan, walaupun menghadapi persaingan, sama ada daripada pesaing langsung atau tidak langsung serta perkhidmatan e-hailing.

“Kami bukan satu-satunya menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai destinasi di sepanjang koridor itu. Oleh itu, kita perlu menyediakan perkhidmatan tambah nilai kepada pelanggan,” katanya kepada pemberita.

ERL hari ini mengumumkan kerjasama dengan KL Hop-On Hop-Off dalam menyediakan cara terpantas untuk penumpang transit dengan masa menunggu sekurang-kurangnya lapan jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bagi memberikan ekspedisi lawatan ringkas ke Kuala Lumpur.

Ia menyasarkan penumpang dari Asia Barat, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menerusi pakej terbabit.

Mohd Nadzmi berkata pakej baharu ini merupakan cara ideal untuk pelawat kali pertama ke Kuala Lumpur untuk mengikuti lawatan sekitar ibu kota secara santai.

-BERNAMA

Berita Harian X