Isnin, 24 Jun 2019 | 6:03pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

MARDI Mahu perluaskan tanaman durian MDUR 88

SERDANG: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) merancang memperluas tanaman durian hibrid, terutama jenis MDUR 88, dalam usahanya mengkomersilkan lagi buah itu, kata Ketua Pengarahnya Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian Johor bersetuju mengusahakan penanaman MDUR 88 di kawasan seluas dua hektar (lima ekar).

Buat masa ini, katanya kira-kira 28 hektar durian hibrid jenis MDUR 88 serta MDUR 79 dan MDUR 78 ditanam di lima stesen penyelidikan MARDI di Kluang, Johor; Kuala Kangsar, Perak; Jerangau, Terengganu; Sintok, Kedah dan Ibu Pejabat MARDI Serdang, Selangor.

“Antara tiga durian hibrid ini, yang paling popular ialah MDUR 88 kerana warna isinya yang keemasan dan rasanya yang manis berlemak, setanding Musang King,” katanya ketika ditemui Bernama pada Majlis Raya Aidilfitri MARDI di sini hari ini.

Sejak diperkenalkan pada 1991, Mohamad Roff berkata lebih 10,000 benih durian MDUR 88 dijual kepada orang ramai.

“Benih MDUR 88 ini dibeli individu, jadi kita tidak dapat kesan di mana kedudukan pokok-pokok tersebut kerana mereka membelinya dalam kuantiti yang kecil.

“Sebab itu kami berusaha mempromosi tanaman ini agar ditanam secara meluas dalam skala besar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Pada masa ini, katanya peminat durian boleh mendapatkan MDUR 88, yang merupakan kacukan melalui dua induk iaitu D10 dan D24, di stesen-stesen penyelidikan MARDI.

Dalam pada itu, Mohamad Roff berkata pihaknya akan menganjurkan Duriotourism sempena Hari Bertemu Pelanggan MARDI Perak pada 4 Julai ini di Stesen MARDI Kuala Kangsar.

“Pihak kami juga akan memperkenalkan lagi durian hibrid hasil penyelidikan MARDI dan orang ramai berpeluang untuk melihat inovasi durian yang telah dibangunkan oleh MARDI,” katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X