Khamis, 27 Jun 2019 | 11:08am
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika berucap pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di Kementerian Kewangan Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kerajaan rangka Indeks Kos Sara Hidup: Guan Eng

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang merangka Indeks Kos Sara Hidup sebagai pelengkap kepada Indeks Harga Pengguna (IHP), kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, indeks baharu itu akan menentukan minimum kos sara hidup yang diperlukan bagi seorang individu.

"Ia (Indeks Kos Sara Hidup) juga akan membantu kerajaan membuat dasar yang lebih tepat dalam menangani kos sara hidup yang dihadapi rakyat," katanya pada Konsultasi Belanjawan 2020 di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir.

Guan Eng berkata, kerajaan juga menangani kos sara hidup dengan mengekang tingkah laku monopoli.

"Kerajaan aktif dalam menguruskan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

"Kadar inflasi bagi Mac, April dan Mei 2019 adalah rendah dan stabil 0.2 peratus, sekali gus membuktikan kejayaan kerajaan dalam memeriksa tekanan harga," katanya.

Selain itu, Guan Eng berkata, kerajaan juga sedang menilai dan merangka pelan baharu bagi 500,000 golongan muda Malaysia mendapatkan pekerjaan menerusi pelbagai program.

Beliau berkata, ia inisiatif penting sejak kadar pengangguran belia meningkat kepada 10.9 peratus pada 2018 berbanding 9.9 peratus pada 2011.

"Kadar itu lebih tinggi berbanding kadar pengangguran kebangsaan 3.4 peratus," katanya.

Majlis Konsultasi dengan tema Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Mampan ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi itu adalah platform interaksi antara kerajaan dan sektor awam, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi pandangan dan maklum balas terhadap cabaran semasa serta langkah bagi menanganinya.

Berita Harian X