Isnin, 1 Julai 2019 | 3:52pm

Jepun kenakan sekatan eksport ke atas Korea Selatan

TOKYO: Jepun mengenakan sekatan ke atas eksport yang digunakan oleh syarikat cip dan telefon pintar Korea Selatan, sekali gus meningkatkan ketegangan antara kedua-dua sekutu Amerika Syarikat (AS) itu.

Seoul segera bertindak balas, dengan menganggap langkah itu ‘tidak adil dan melanggar undang-undang antarabangsa’.

Langkah itu membabitkan pertikaian berhubung peraturan mahkamah Korea Selatan yang memerlukan firma Jepun memberi pampasan kepada mangsa buruh paksa perang.

Pertikaian itu bermula dengan latar belakang hubungan tegang selama berdekad semasa pemerintahan koloni Jepun antara 1910-1945 ke atas Semenanjung Korea.

Sekatan baharu itu akan berkuat kuasa 4 Julai ini dan akan memperlahankan secara mendadak eksport beberapa bahan penting yang digunakan oleh gergasi cip dan telefon pintar Korea Selatan.

Jepun berkata, langkah itu adalah disebabkan hilangnya kepercayaan terhadap Seoul.

“Sistem kawalan eksport dibina berasaskan hubungan kepercayaan antarabangsa,” kata Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun.

“Selepas semakan semula oleh kementerian berkaitan, boleh dikatakan bahawa hubungan kepercayaan antara Jepun dan Korea Selatan terjejas agak teruk,” tambah METI.

Sekatan baharu itu tertakluk kepada tiga bahan kimia selain pemindahan teknologi pembuatan, dengan mengeluarkannya daripada senarai eksport dipercepatkan yang dibenarkan.

Ini bermakna, pengeksport kini perlu memohon kebenaran bagi setiap kumpulan yang mahu dieksport ke Korea Selatan, proses yang setiap satunya mengambil masa kira-kira 90 hari, lapor media tempatan.

Bahan kimia yang terbabit dengan langkah itu adalah ‘fluorinated polyimide’, yang digunakan untuk menghasilkan paparan, ejen penolakan photosensitising yang digunakan dalam pengeluaran cip dan hidrogen fluorida yang digunakan untuk membersihkan cip.

METI berkata, ia juga akan meminta pandangan awam berhubung penyingkiran Korea Selatan daripada senarai negara ‘putih’ yang berdepan sekatan minimum terhadap pemindahan teknologi dengan implikasi keselamatan nasional.

Pegawai Perdagangan Korea Selatan, Park Tae-sung dalam satu sidang akhbar berkata bahawa sekatan itu adalah tidak sah.

“Sekatan eksport Jepun melanggar prinsip perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” katanya. - Reuters

325 dibaca
Berita Harian X