Khamis, 4 Julai 2019 | 3:16pm
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

NEP2030 pemangkin kecemerlangan usahawan

KUALA LUMPUR: Dasar Keusahawanan Negara (NEP2030) yang akan dilancarkan pada 11 Julai ini akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan usahawan tempatan, sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof, berkata terdapat beberapa kelemahan utama yang didapati menerusi indeks keusahawanan di negara ini seperti inovasi produk, penyerapan teknologi dan kemahiran di peringkat permulaan.

"Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menyasarkan untuk berada di kedudukan ke-25 dalam Indeks Pembangunan Keusahawanan Global (GEDI) menjelang 2030.

"Menerusi laporan Indeks Inovasi 2019 Bloomberg, Malaysia pada masa ini berada di kedudukan ke-58 bagi GEDI dan ke-26 sebagai negara paling inovatif di dunia.

"Oleh itu, menerusi NEP2030 diharap mampu menambahbaik kedudukan negara dalam GEDI," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2019, di sini, hari ini.

Sidang kemuncak kali ini bertemakan, "Cabaran Bagi Malaysia - Perkongsian Kekayaan, Kompetitif dan Pertumbuhan Ekonomi".

Beliau berkata, MED akan memastikan syarikat pemula hingga uamh berskala besar akan terus berkembang dengan pendekatan pelbagai usaha yang dijalankan termasuk memudahkan akses untuk mereka yang ingin meneroka idea.

"Menyedari keperluan dana adalah elemen penting dalam ekosistem syarikat pemula, MED akan berusaha untuk menarik dana modal teroka, pelaburan menerusi skim dan insentif supaya syarikat pemula mampu mengambil peluang yang ada seterusnya memacu mereka ke arah syarikat berstatus konglomerat di Malaysia.

"Kementerian telah merangka dasar dan insentif bagi mengukuhkan persekitaran lebih kondusif terutama untuk golongan muda meneroka bidang keusahawanan," katanya.

Berita Harian X