Khamis, 11 Julai 2019 | 2:39pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (kiri). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kerajaan sasar lahirkan 250,000 usahawan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasar untuk melahirkan 250,000 usahawan sebagai usaha merealisasikan sejuta peluang pekerjaan di Malaysia dalam tempoh lima tahun.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata usahawan berkenaan akan memainkan peranan sebagai 'pencipta pekerjaan' selain menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kerajaan kini berusaha untuk merealisasikan manifesto mewujudkan sejuta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

"Justeru, usahawan boleh memainkan peranan mereka sebagai pencipta pekerjaan. Setiap usahawan dijangka boleh menjana empat peluang pekerjaan," katanya pada sidang media selepas pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), di sini, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) juga akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain berkaitan dalam mewujudkan usahawan yang berkualiti.

"Pemantauan itu bertujuan untuk memberi nilai tambah dan mengenal pasti kelemahan yang ada bagi melahirkan usahawan berkualiti serta berdaya maju," katanya.

Dalam pada itu, Redzuan juga berkata, tiada agensi akan digabungkan dalam usaha mengurangkan isu pertindihan dasar, tugas dan aktiviti pembangunan  keusahawanan di negara ini.

Sebaliknya beliau berkata, setiap agensi akan bekerjasama dan dipantau bagi memastikan tiada pertindihan berlaku di setiap agensi dan kementerian.

"Tidak semestinya (berlaku penggabungan agensi). Kita ada majlis-majlis jawatankuasa kabinet, contohnya bila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mahu membangunkan sektor khusus membabitkan keusahawanan, tanggungjawab menyelaraskan itu dilaksanakan (oleh kementerian).

"Cuma kita memantau untuk memenuhi hasrat kementerian supaya kita bekerjasama dan itulah antara pendekatan yang kita bawa dalam usaha kita menyelaraskan semua program di peringkat kementerian," katanya.

Beliau mengulas ucap tama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang berharap dengan adanya Dasar Keusahawanan yang baru dilancarkan itu, semua  isu  pertindihan  dasar,  tugas  dan  aktiviti pembangunan  keusahawanan  yang  dilaksanakan  di  beberapa  kementerian dapat  diselaras semula.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, DKN 2030 adalah dasar yang menyediakan ekosistem milik dan hak rakyat sepenuhnya.

"Ekosistem keusahawanan yang mampu kita perbaiki dan melalui proses “penjajaran semula”, akan membuka ruang lebih besar kepada segenap lapisan masyarakat termasuklah kumpulan B40 dan mereka yang berisiko terpinggir.

"MED cukup yakin, dengan kerjasama dan komitmen semua pihak, usaha yang holistik dan bersepadu di antara semua kementerian, kerajaan negeri, agensi dan pelaksana – DKN 2030 dan seluruh matlamatnya boleh direalisasikan," katanya.

Berita Harian X