Isnin, 15 Julai 2019 | 8:14pm
Kerajaan akan melihat pelbagai langkah mendekatkan jurang perbezaan gaji yang kini diamalkan negara maju. - Foto hiasan

Jurang gaji CEO, pekerja akan dirapatkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka garis panduan pembayaran gaji bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun yang disasarkan akan dimuktamadkan sebelum berakhir tahun ini.

Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid, berkata garis panduan itu bertujuan merapatkan jurang pembayaran gaji antara pegawai teratas dengan kumpulan pekerja pertengahan dan bawah, supaya dapat berkongsi kemakmuran secara saksama.

Katanya, kerajaan akan melihat pelbagai langkah mendekatkan jurang perbezaan gaji yang kini diamalkan negara maju supaya dapat diterapkan sebagai garis panduan dan menggalakkan organisasi menaikkan gaji pekerja terendah.

“Garis panduan ini bukan wajib kerana sebarang keputusan mematuhinya masih perlu dimuktamadkan di peringkat lembaga pengarah. Hanya untuk GLC dan badan berkanun kerana kerajaan tiada kuasa mengawal syarikat swasta.

“Semasa di Invest Malaysia 2019, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan tidak patut ada pembayaran berlebihan dalam kalangan GLC, terutama pegawai teratas GLC dan lebih baik jika pekerja pertengahan yang dibayar gaji lebih tinggi.

“Di negara maju termasuk United Kingdom, syarikat awam tidak boleh ada gaji lebih tinggi daripada Perdana Menteri.

“Perancis meletakkan had kepada 400,000 euro dan Poland pula mengehad gaji tertinggi tidak melebihi 10 kali ganda gaji pertengahan, maka ini antara inisiatif menaikkan gaji kumpulan pertengahan yang kita lihat di negara luar,” katanya di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu menyaksikan majlis memeterai perjanjian bersama (CA) antara Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) dengan HSBC Bank Malaysia Bhd (HSBC Bank).

CA yang berkuatkuasa bermula 1 Julai 2016 sehingga 30 Jun 2019 itu membabitkan agihan manfaat kepada 200 kakitangan termasuk kenaikan gaji 10 peratus, elaun sara hidup bulanan RM600 serta cuti bergaji ibadah haji, dengan semua pelarasan gaji dan manfaat akan dibayar secara ‘backdated’.

Mengulas lanjut, Muhammed berkata, aktiviti perpindahan pekerja berkemahiran tempatan ke luar negara atau ‘brain drain’ adalah disebabkan syarikat di negara ini tidak membayar gaji pekerja dengan wajar serta terlalu rendah.

Justeru, katanya usaha mengawal gaji peringkat teratas organisasi daripada dibayar gaji terlalu tinggi itu tidak sepatutnya menjadi kebimbangan tidak berasas dengan mengaitkannya kepada risiko ‘brain drain’.

Berita Harian X