Rabu, 24 Julai 2019 | 12:07pm

Perdagangan global berkembang perlahan

SANTIAGO: Perdagangan global hanya berkembang 0.5 peratus pada suku pertama 2019, pertumbuhan tahun ke tahun paling perlahan sejak 2012, di tengah-tengah isyarat kemungkinan berlaku kelembapan yang lebih besar, kata pegawai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

IMF menurunkan unjuran pertumbuhan global tahun ini dan tahun depan, sambil memberi amaran bahawa tarif Amerika Syarikat (AS)-China, tarif auto dan Brexit yang tidak tersusun akan terus memperlahankan pertumbuhan, melemahkan pelaburan dan mengganggu rantaian bekalan.

Ketua Ahli Ekonomi IMF, Gita Gopinath memberitahu pemberita di sini, penyedia pinjaman global itu tidak melihat isyarat kemelesetan, namun menyaksikan ‘risiko penurunan ketara’ pertumbuhan global menuju ke hadapan, termasuk perang perdagangan yang semakin memuncak.

Timbalan Pengarah Jabatan Penyelidikan IMF, Gian Maria Milesi-Ferretti, memberitahu Reuters dalam satu temubual bahawa perdagangan yang lemah adalah disebabkan beberapa faktor.

Ia, katanya termasuklah ketidaktentuan yang dicetuskan oleh perang perdagangan AS-China, pelaburan yang lebih perlahan dan kitaran kelemahan dalam sektor automotif serta teknologi.

“Penghujung 2018 adalah agak lemah,” kata Milesi-Ferretti.

“Anda melihat kombinasi beberapa faktor, sebahagian daripadanya adalah bersifat sementara dan sebahagian lagi mungkin isyarat kelembapan yang lebih ketara.”

Milesi-Ferretti berkata, perdagangan kebanyakannya dipacu oleh barangan pelaburan, namun aktiviti pelaburan lemah di Amerika Latin, Eropah dan paling utama di China, yang berdepan penurunan besar permintaan domestiknya.

“Apabila pelaburan perlahan di China, ia dipaparkan di skrin radar global,” katanya.

Perdagangan global turut dijejaskan oleh kitaran penurunan perdagangan dalam barangan dan komponen yang dikaitkan dengan pengeluaran produk teknologi seperti iPhone serta produk elektronik lain.

“Kitaran itu memberikan rangsangan besar kepada perdagangan global pada akhir 2017, namun ia telah beralih dan menjadi agak lemah kebelakangan ini, sekali gus ditunjukkan dalam angka perdagangan, khususnya di Asia,” kata Milesi-Ferretti.

-Reuters

Berita Harian X