Khamis, 25 Julai 2019 | 2:44pm
Zuraida (kiri) melawat pameran selepas merasmikan persidangan hartanah Hi Home anjuran Hartanahbumi dotCom Sdn Bhd di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias

KPKT, PTPTN bangun mekanisme disiplinkan peminjam

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bekerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membangunkan satu mekanisme bagi membantu peminjam tabung pendidikan itu konsisten membayar semula pinjaman, termasuk pinjaman rumah.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata mekanisme itu akan memastikan peminjam PTPTN yang disenarai dalam Sistem Rujukan Maklumat Berpusat (CCRIS) supaya lebih berdisiplin dalam pembayaran kewangan termasuk pembiayaan rumah.

Katanya, langkah itu adalah usaha kerajaan untuk mendisplinkan golongan itu supaya lebih terurus dan bertanggungjawab dalam pembayaran pinjaman.

“Pelaksanaan mekanisme ini adalah untuk mereka yang disenarai dalam sistem CCRIS oleh PTPTN serta berminat untuk memilik rumah pada harga RM300,000 ke bawah.

“Inisiatif ini juga adalah antara langkah untuk membantu mereka ini untuk membayar secara tetap dan konsisten kepada PTPTN supaya dapat keluar dari bebanan sedia ada.

“Saya sedia maklum bahawa PTPTN mempunyai kaedah pembayaran secara fleksibel, namun ia tidak diformalkan sepenuhnya. Apabila ia dilaksanakan sepenuhnya, pihak kementerian terbuka untuk bekerjasama, seterusnya merealisasikan usaha wujudkan mekanisme pembayaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran dan perasmian persidangan hartanah Hi Home anjuran Hartanahbumi dotCom Sdn Bhd di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Hartanahbumi dotCom, Radzi Tajuddin.

Hi HOME adalah kombinasi ekspo hartanah atas talian dan persidangan hartanah berkonsepkan ‘TED Talk’.

Ekspo Hartanah dalam talian ini mempunyai 100 projek hartanah yang dipilih dari seluruh negara.

Ia terdiri daripada projek perumahan mampu milik dari serendah RM125,000, sehinggalah projek hartanah mewah di tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

Sempena Hi HOME 2019, pemaju menawarkan pelbagai pakej istimewa antaranya diskaun pembelian hartanah bermula 10 peratus sehingga 40 peratus, yuran guaman percuma, pengecualian setem duti dan juga tiket penerbangan pergi balik percuma daripada Air Asia.

Zuraida baru-baru ini mengumumkan bahawa peminjam PTPTN yang disenarai dalam CCRIS akan boleh membeli rumah pertama.

Bagaimanapun, katanya pengecualian berkenaan hanya untuk pembelian rumah pertama dan bukan terhad untuk skim perumahan di bawah kementeriannya sahaja.

Katanya, inisiatif itu yang akan dilancarkan bersama skim lain untuk perumahan belia pada 18 Oktober ini dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, bagi membolehkan generasi muda memiliki rumah sendiri.

Berita Harian X