Isnin, 5 Ogos 2019 | 2:31pm
Honda menyaksikan jualannya di Korea Selatan bulan lalu merosot 33.5 peratus. - Foto AFP

Jualan kereta Jepun di Korea Selatan terjejas

SEOUL: Jualan kenderaan keluaran Jepun di Korea Selatan menjunam bulan lalu, di tengah-tengah pertikaian perdagangan yang semakin meningkat antara Seoul dan Tokyo.

Jepun awal bulan lalu memperkenalkan sekatan ke atas eksport yang penting gergasi teknologi seperti Samsung, susulan beberapa siri arahan mahkamah Korea Selatan supaya firma Jepun membayar buruh paksa semasa Perang Dunia Kedua.

Kedua-dua negara Jumaat lalu mengeluarkan satu sama lain daripada ‘senarai putih’ rakan perdagangan yang dipercayai, meskipun ada gesaan daripada Amerika Syarikat (AS) supaya mereka meredakan ketegangan.

Malah, sebelum keputusan dibuat Jumaat lalu, Korea Selatan sudah mula menunjukkan kemarahannya apabila memboikot jenama Jepun dan menggantikannya dengan keluaran tempatan bagi barangan seperti arak, pakaian, kosmetik malah alat tulis.

Data semalam menunjukkan rakyat Korea Selatan berpaling daripada kereta Jepun bulan lalu.

Honda menyaksikan jualannya di Korea Selatan bulan lalu merosot 33.5 peratus, manakala jualan Toyota Motor menjunam 32 peratus, demikian menurut data daripada Persatuan Pengimport dan Pengedar Automobil Korea (KAIDA).

Honda memberitahu AFP ia memerhatikan situasi itu ‘dengan rapi’ dan ‘dengan berhati-hati’.

Seorang eksekutif di Toyota Korea berkata adalah sukar untuk mengatakan bahawa situasi pertikaian perdagangan Jepun-Korea Selatan adalah satu-satunya punca ia berlaku. - AFP

624 dibaca
Berita Harian X