Selasa, 6 Ogos 2019 | 6:52pm
Menteri Kerja Raya, Baru Bian. NSTP/Amirudin Sahib
Menteri Kerja Raya, Baru Bian. NSTP/Amirudin Sahib

Majikan perindustrian diwajibkan sedia penginapan pekerja

Oleh Nurhayati Abllah

[email protected]

With Amirudin Sahib

KUALA LUMPUR: Majikan yang terbabit dalam sektor perindustrian termasuk pembinaan akan diwajibkan menyedia kemudahan penginapan kepada pekerja.

Ia sebagai antara syarat yang perlu dipatuhi untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja di bawah Pindaan Akta 446 ( Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990).

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata pindaan akta berkenaan sudah diluluskan di Parlimen pada 31 Julai lalu yang mana akan mewajibkan semua majikan dalam sektor perindustrian menyediakan penginapan memenuhi standard minimum kepada pekerja mereka.

"Pada masa ini, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam menyediakan garis panduan mengenai perkara berkenaan.

"Bila dan bagaimana ia akan dilaksanakan adalah di bawah bidang kuasa KSM, tetapi kami menjangkakan pelaksanaannya akan dilakukan tidak lama lagi," katanya pada sidang media berhubung perkembangan terkini Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Tahir; Pengerusi CIDB, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kementeriannya turut memohon peruntukan RM15 juta melalui Belanjawan 2020 bagi memberi latihan kepada pemain industri pembinaan di negara ini untuk menggunapakai sepenuhnya sistem Model Maklumat Bangunan (BIM).

"Usaha itu selari dengan matlamat CITP yang mengarah kepada pembinaan secara digital, selaras dengan usaha ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0)," katanya.

Mengulas perancangan masa depan, Bian berkata, Kementerian Kerja Raya dan agensi di bawahnya kini dalam proses menanda aras pencapaian Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan mengenal pasti cadangan dasar, strategi dan program baharu untuk mencapai sasaran RMK-12.

Sementara itu, Ahmad Asri berkata, garis panduan pelaksanaan peraturan itu sedang dirangka dan dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

"Kami akan memantau dan turut bekerjasama dengan peserta industri. Perkara itu tidak akan ditentukan dengan sewenang-wenangnya," katanya.

Katanya, kemudahan kuarters pekerja atau 'rumah kongsi' yang diguna pakai pada masa ini tidak memenuhi standard minimum bagi penginapan pekerja pembinaan sementara.

"Justeru CIDB bercadang untuk menggunakan Piawaian Malaysia (MS 2593: 2015) sebagai panduan untuk peningkatan penginapan dan kemudahan pekerja," katanya.

Di bawah MS2593, spesifikasi yang ditetapkan bagi perumahan dan kemudahan untuk pekerja pembinaan termasuk bilik/asrama; kemudahan air; pelupusan air; ruang memasak dan ruang makan; papan tanda; saluran air dan elektrik; kemudahan bersosial serta perubatan.

Berita Harian X