Selasa, 13 Ogos 2019 | 3:27pm
Abdul Karim meninjau iklan Tahun melawat Sarawak di dalam pesawat Airbus 320 milik AirAsia di Lapangan Terbang antarabangsa Kuching. - NSTP/L Manimaran

Jenama 'Sarawak' di kabin penumpang pesawat AirAsia

KUCHING: Sebanyak lima pesawat AirAsia membawa jenama Sarawak untuk dipromosikan di enam negara Asia dan Indochina bagi tempoh setahun.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kerajaan negeri akan terus menjalinkan kerjasama strategik demi memastikan negeri ini menjadi destinasi pilihan utama di rantau ini.

“Sepanjang kerjasama Sarawak Tourism Board (STB), kabin penyimpanan membabitkan lima pesawat berkenaan akan memaparkan destinasi dan produk pelancongan unik, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai destinasi paling meriah, mempersona dan menghiburkan.

“Paparan keunikan itu mewakili budaya, alam semula jadi, pengembaraan, makanan dan perayaan yang ada di Sarawak,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini hari ini.

Antara paparan menarik di kabin penyimpanan itu turut merangkumi Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Taman Negara Mulu; Laksa Sarawak; Pantai Tusan di Miri; Rainforest World Music Festivals dan bunga Raflessia.

Sebagai tambahan, keunikan Sarawak juga akan dipromosi dalam 360 majalah dalaman dalam pesawat, selain paparan negeri ini di platform digital di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2)

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Salleh, berkata Sarawak melihat kerjasama strategik antara swasta-kerajaan mewujudkan jalinan dan inisiatif bersepadu bertujuan merancakkan lagi Sarawak sebagai destinasi pilihan utama pelancong.

“Sarawak mempunyai banyak ‘mutiara tersimpan’ untuk diteroka dan kami melihat inisiatif melakukan promosi di pesawat memberi kesan signifikan demi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelancong Asia dan Indochina berkenaan Sarawak,” katanya.

Antara destinasi lima pesawat berkenaan merangkumi Phuket, Chiang Mai di Thailand; Chennai, Kochi dan Kolkata di India; Ho Chi Min City, Danang dan Hanoi di Vietnam; Medan dan Jakarta di Indonesia; Phnom Penh dan Siam Rep di Kemboja; Chongqing, Hangzhou, Kunming dan Shenzhen di China; Bandar Seri Begawan, Brunei dan Singapura.

429 dibaca
Berita Harian X