Rabu, 14 Ogos 2019 | 10:48am
PRESIDEN Donald Trump. - Foto Reuters

Trump lambatkan tarif ke atas telefon bimbit, komputer riba China

WASHINGTON: Presiden Donald Trump mengubah pendirian berhubung rancangan awalnya berhubung mengenakan tarif baharu 10 peratus ke atas import tambahan China pada 1 September.

Beliau melambatkan daripada mengenakan cukai ke atas telefon bimbit, komputer riba dan barangan pengguna lain dengan harapan ia dapat mengurangkan kesannya ke atas jualan musim cuti di Amerika Syarikat (AS).

Langkah itu melonjakkan harga saham dan memberikan kelegaan kepada peruncit dan perniagaan berkaitan teknologi.

Tarif baharu itu, sebaliknya akan berkuat kuasa dari 15 Disember membabitkan beribu-ribu produk termasuk pakaian dan kasut, berkemungkinan bertujuan menyokong jualan musim cuti daripada beberapa kekangan daripada perang perdagangan yang berlarutan antara dua ekonomi terbesar di dunia itu.

"Kami melakukan ini untuk musim Krismas, seandainya beberapa tarif akan memberi impak kepada pelanggan AS," kata Trump kepada wartawan di New Jersey.

"Sekiranya ia mungkin memberi impak kepada orang ramai, apa yang kami lakukan ialah menangguhkannya supaya ia tidak relevan kepada musim beli belah Krismas."

Pejabat Perwakilan Perdagangan AS mengumumkan keputusan itu hanya beberapa minit selepas Kementerian Perdagangan China mengatakan Naib Perdana Menteri Liu He mengadakan panggilan telefon dengan pegawai-pegawai perdagangan AS.

Liu bersetuju dengan Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin, untuk bercakap lagi melalui telefon dalam tempoh dua minggu akan datang, kata kementerian itu.

Trump berkata kedua-dua pasukan masih boleh mengadakan perjumpaan pada awal September seperti yang dijadualkan.

Penangguhan mengenakan tarif ke atas sebahagian besar daripada baki senarai barangan import China bernilai AS$300 bilion menjurus kepada lonjakan di pasaran saham AS.

Saham Apple Inc menokok empat peratus susulan berita itu yang mana produk teras iPhone, tablet dan komputer riba akan terhindar dari tarif buat masa ini.

Namun pentadbiran Trump masih merancang untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas beribu-ribu produk makanan Cina, pakaian dan produk elektronik pengguna mulai 1 September.

Antaranya ialah jam tangan pintar daripada Apple dan Fitbit, pembesar suara pintar daripada Amazon.com Inc, Google dan Apple, Bluetooth dan peranti lain. - Reuters

575 dibaca
Berita Harian X