Rabu, 14 Ogos 2019 | 12:48pm
- Foto Hiasan

Pertikaian perdagangan Korea Selatan, Jepun memuncak

SEOUL: Kementerian Perdagangan Korea Selatan hari ini memulakan proses untuk menggugurkan Jepun daripada senarai rakan kongsi perdagangannya yang dipercayai.

Ia sebagai tindakan balas susulan pertikaian perdagangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara jiran Asia itu, lapor agensi berita Yonhap.

Awal minggu ini, kerajaan Korea Selatan memutuskan untuk merombak kategori rakan kongsi perdagangannya kepada tiga kumpulan berbanding dua ketika ini, dengan meletakkan Tokyo di tengah-tengah antara kumpulan berkenaan.

Kementerian itu berkata, langkah itu akan berkuat kuasa selepas mengumpul pendapat umum selama 20 hari dan melakukan semakan perundangan.

Jepun melaksanakan kekangan eksport terhadap Korea Selatan pada Julai, bermula dengan menyekat penghantaran tiga bahan penting bagi industri teknologi yang menjadi tulang belakang Seoul dan mendakwa ekonomi keempat Asia itu mengendali kawalan eksport agak longgar ke atas barangan sensitif.

Tokyo minggu lalu secara rasmi mengumumkan bahawa Korea Selatan akan digugurkan daripada senarai rakan kongsi perdagangan yang dipercayainya mulai akhir bulan ini.

Korea Selatan, yang menolak dakwaan itu, menyifatkan langkah Jepun sebagai tindakan balas terhadap satu penghakiman mahkamah yang mengarahkan beberapa firma Jepun untuk membayar pampasan kepada rakyat Korea yang menjadi buruh paksa semasa penjajahan dan pemerintahan kejam Tokyo dari 1910 hingga 1945 di Semenanjung Korea.

-BERNAMA

Berita Harian X