Rabu, 14 Ogos 2019 | 1:23pm

Pertumbuhan suku kedua Malaysia diunjur lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjur berkembang lebih tinggi pada suku kedua, dibantu oleh angka eksport dan pengeluaran yang sedikit kukuh, demikian menurut pungutan pendapat oleh Reuters.

Unjuran median pungutan pendapat 13 ahli ekonomi adalah pertumbuhan tahunan 4.8 peratus bagi tempoh April hingga Jun, lebih pantas berbanding pertumbuhan 4.5 peratus pada suku pertama.

Unjuran individu adalah daripada 4.3 peratus ke 5.0 peratus.

Jika ekonomi berkembang melebihi 4.5 peratus, Malaysia akan menjadi negara Asia Tenggara pertama yang melaporkan pertumbuhan lebih pantas pada suku kedua.

“Malaysia terkecuali daripada kelembapan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dipacu eksport yang dialami oleh ekonomi Asia dan global ketika ini, di tengah-tengah memuncaknya perang perdagangan global dan kelemahan sektor teknologi,” kata Ahli Ekonomi ING, Prakash Sakpal.

“Ini dikaitkan dengan pemecutan pertumbuhan pengeluaran pada suku sama seperti yang dibuktikan daripada angka pengeluaran perindustrian,” katanya.

Unjuran ING bagi suku kedua adalah pertumbuhan 4.8 peratus.

Pada Mei dan Jun, pengeluaran perindustrian Malaysia meningkat empat peratus berbanding setahun sebelumnya, angka paling kukuh sejak Oktober, disokong oleh kenaikan dalam sektor perlombongan dan penjanaan tenaga.

Walaupun Malaysia sebagai pengeksport besar barangan perantara ke China tetap terkesan berikutan perang perdagangan China-Amerika Syarikat (AS), eksportnya pada suku kedua sedikit lebih tinggi berbanding setahun lalu, disokong permintaan bagi sawit, minyan dan gas serta barangan pembuatan.

Malaysia adalah ekonomi ketiga terbesar Asia Tenggara dan eksport utamanya termasuk sawit dan gas asli cecair.

Ahli Ekonomi UOB Bank, Julia Goh, dalam notanya berkata beliau menjangkakan pengguaan swasta kekal ‘berdaya tahan’ pada suku kedua, disokong oleh permintaan pada musim perayaan, bayaran bonus sektor swasta dan bantuan kewangan kepada kakitangan awam.

UOB mengunjurkan suku kedua berkembang 5.0 peratus.

Namun, Goh berkata beliau meragui pertumbuhan akan mapan berikutan risiko penurunan global semakin memuncak berikutan ketegangan perdagangan antara negara-negara utama, ekonomi China yang lebih lemah, kemungkinan Brexit tidak menemui penamat dan potensi kemungkiran kredit di Argentina.

Bagi merangsang pertumbuhan, Bank Negara Malaysia (BNM) pada Mei melaksanakan pemotongan kadar faedah pertama sejak 2016, sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus.

-Reuters

Berita Harian X