Jumaat, 16 Ogos 2019 | 8:17am
Gambar fail, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kiri) bersalam dengan Presiden China, Xi Jinping pada permulaan mesyuarat dua hala mereka di sidang kemuncak pemimpin G20 di Osaka, Jepun pada 29 Jun lalu. - Foto REUTERS

China tekad bertindak balas ke atas AS

BEIJING/WASHINGTON: China bertekad untuk bertindak balas ke atas tarif terbaru yang akan dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas import China bernilai AS$300 bilion, tetapi meminta supaya AS lebih berkompromi bagi membolehkan persetujuan dicapai, memandangkan Presiden Donald Trump sebelum ini berkata sebarang persetujuan harus pada terma yang ditetapkan AS.

Kementerian Kewangan China dalam satu kenyataan berkata, bahawa tarif Washington yang akan bermula bulan depan, melanggar persetujuan yang dicapai antara Trump dan Presiden Xi Jinping pada sidang kemuncak di Jepun Jun lalu untuk menyelesaikan perselisihan melalui rundingan.

Dalam satu kenyataan berasingan, jurucakap kementerian luar negara China, Hua Chunying, berkata, "Kami berharap AS dan China akan mencapai kompromi, dan melaksanakan kesepakatan yang dipersetujui kedua-dua negara semasa di Osaka."

China berharap dapat mencari penyelesaian yang boleh diterima melalui dialog dan perundingan atas dasar kesamarataan dan saling menghormati, katanya.

Trump, yang berhasrat bertanding dalam pilihan raya presiden untuk penggal kedua pada 2020, dan telah menjadikan ekonomi dan pendirian tegasnya ke atas China dalam kempen pilihan raya 2016, semalam berkata sebarang perjanjian mestilah memenuhi tuntutan AS.

"China, secara terus terang, mahukan perjanjian dicapai, dan ia harus pada terma yang sesuai. Ia harus menjadi perjanjian berdasarkan terma kami. Jika tidak, apa gunanya?" kata Trump dalam satu temu bual di stesen radio WGIR di New Hampshire. - Reuters

859 dibaca
Berita Harian X