Jumaat, 16 Ogos 2019 | 12:39pm

Liberalisasi selanjutnya pertukaran asing 30 Ogos ini

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan langkah liberalisasi selanjutnya dalam dasar pentadbiran pertukaran asing (FEA) berkuat kuasa 30 Ogos ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata langkah itu bagi memberikan fleksibiliti lebih besar di samping meningkatkan tahap kecekapan sektor perniagaan menguruskan risiko pertukaran asing dan menjalankan operasi harian perniagaan dengan lebih baik.

"Fleksibiliti diberi kepada pemastautin untuk melanjutkan tempoh lindung nilai bagi obligasi mata wang asing akaun semasa sehingga tempoh asas obligasi berkenaan.

"Ia bertujuan menggalakkan pengurusan risiko yang baik serta meningkatkan  kecekapan sektor perniagaan. Selain itu, pemastautin juga boleh mendapatkan kelulusan daripada BNM untuk melindung nilai obligasi akaun kewangan mereka sehingga tempoh asas berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia suku kedua 2019 di sini, hari ini.

Nor Shamsiah berkata, bagi meningkatkan kecekapan dalam operasi pengurusan risiko secara berpusat, syarikat perbendaharaan pemastautin di Malaysia juga bebas untuk melindung nilai bagi pihak syarikat berkaitan jika dilakukan melalui bank tempatan berlesen.

"Selain itu, syarikat perbendaharaan bukan pemastautin di luar negara bebas untuk melindung nilai bagi pihak syarikat berkaitan mereka di Malaysia dan luar negara dengan bank tempatan berlesen atau Pejabat Luar Negara Yang Dilantik (AOO), selepas berdaftar dengan BNM.

"Fleksibiliti turut diberikan kepada bukan pemastautin untuk melindung nilai berasaskan anggaran dengan AOO bagi penyelesaian perdagangan barangan dan perkhidmatan," katanya.

Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, BNM juga membuat semakan semula takrifan peminjaman ringgit domestik.

"Kemudahan kredit yang digunakan oleh syarikat bagi tujuan perbelanjaan pelbagai seperti perbelanjaan runcit dan perbelanjaan perjalanan pekerja dikecualikan daripada peminjaman ringgit domestik di bawah dasar FEA yang terpakai bagi pelaburan di luar negara.

"Langkah itu bertujuan memudahkan pengurusan perbelanjaan operasi oleh pemastautin tanpa memberikan kesan kepada aktiviti pelaburan mereka," katanya.

79 dibaca
Berita Harian X