Jumaat, 16 Ogos 2019 | 4:53pm
GABENOR Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus. - Foto Asyraf Hamzah

Pergerakan fleksibel ringgit bantu serap kejutan luar

KUALA LUMPUR: Pergerakan ringgit yang fleksibel membantu menyerap kejutan luaran, sekali gus mengekang gangguan kepada aktiviti ekonomi negara.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), yang mana pergerakannya sejajar dengan prestasi mata wang serantau lain, telah memainkan peranan penting dalam menyerap kejutan luaran.

Beliau berkata, nilai ringgit menyusut sebanyak 1.5 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku kedua 2019 sejajar dengan mata wang serantau lain di tengah-tengah ketidaktentuan global dan domestik.

“Bagi dua bulan pertama sukuan ini, pasaran kewangan domestik terjejas oleh sentimen pelabur yang berhati-hati di tengah-tengah prospek pertumbuhan global yang sederhana dan peningkatan ketegangan perdagangan global.

“Kesemua ketidaktentuan ini nyata masih ketara, lantas terus menjejaskan kesanggupan pelabur untuk mengambil risiko dalam pasaran kewangan serantau, termasuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia bagi suku kedua 2019, di sini, hari ini.

Dalam tempoh 1 Julai hingga 15 Ogos, nilai ringgit menyusut sebanyak 1.2 peratus berbanding dengan dolar AS.

Sejak awal tahun hingga kini pula, nilai ringgit telah menyusut sebanyak 1.3 peratus berbanding dengan dolar AS dan corak aliran itu sejajar dengan kebanyakan mata wang serantau.

Pada masa akan datang, gabungan faktor global akan terus mempengaruhi pergerakan mata wang serantau, termasuk ringgit.

Walaupun terdapat sentimen yang lemah, pasaran bon dan ekuiti domestik kekal disokong oleh permintaan yang berterusan daripada pelabur institusi domestik sepanjang suku berkenaan.

Prestasi bon domestik dan pasaran ekuiti juga telah disokong oleh pemulihan sentimen pelabur menjelang akhir sukuan itu berikutan jangkaan pelonggaran dasar monetari oleh bank pusat utama yang membawa kepada penambahbaikan selera risiko pelabur, sekali gus memacu aliran masuk portfolio asing.

Pegangan asing bon kerajaan Malaysia berada pada paras 22.2 peratus pada akhir Julai 2019 dengan pelabur jangka panjang kekal sebagai pemegang utama bon kerajaan Malaysia.

Berita Harian X