Khamis, 22 Ogos 2019 | 8:39am
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari. - NSTP/Samadi Ahmad

MARii lanjut kerjasama dengan Swinburne

MELBOURNE: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) melanjutkan kerjasamanya dengan Swinburne University of Technology untuk menubuhkan akademi latihan Industri 4.0 yang akan terletak di Akademi Teknologi MARii di Bukit Beruntung, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari, berkata akademi itu akan menjadi pusat bagi pembangunan tenaga kerja sebagai persediaan menghadapi Industri 4.0.

“Kerjasama yang dipertingkatkan ini dengan Swinburne akan mengukuhkan lagi inisiatif MARii’s dalam melatih tenaga kerja Malaysia bersedia menghadapi Industri 4.0, sejajar dengan Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 (Industry 4WRD),” katanya pada majlis pemeteraian kerjasama itu, di sini, hari ini.

Kerjasama itu dimeterai antara Madani dan Pro-Naib Canselor (libat urus penyelidikan antarabangsa) Swinburne Profesor Ajay Kapoor, dan disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking serta Naib Presiden (libat urus) Swinburne Jane Ward.

Madani berkata, MARii dan Swinburne juga akan meneliti program penyelidikan untuk menangani isu-isu perindustrian di Sabah, memanfaatkan kepakaran dalam MARii Satellite Sabah di Kota Kinabalu yang baru ditubuhkan sebagai tumpuan utama antara industri dan ahli akademik.

Beliau berkata, kerjasama itu juga adalah lanjutan kepada Pusat Inovasi Pengangkutan MARii-Swinburne yang dilancarkan pada 2016, terletak di kampus Swinburne di Kuching, Sarawak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, berkata Swinburne Innovation Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Swinburne Sarawak, telah diberikan status syarikat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Kontrak oleh MIDA pada Mac 2019 sebagai pengiktirafan ke atas usaha persendirian syarikat itu dalam penyelidikan.

“Dalam keadaan persekitaran global yang semakin kompleks, kita perlu menyedari bahawa penyelidikan pada hari ini jarang sekali satu usaha persendirian. Ia berkaitan dengan perkongsian, saling bekerjasama, membina hubungan strategik dan memupuk kerjasama antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata melihat inovasi sebagai satu ikhtiar bersama, justeru itu, MIDA mahu bekerjasama rapat dengan Swinburne Innovation Malaysia untuk terbabit dengan lebih banyak syarikat di Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan R&D yang akan membolehkan mereka membangunkan pengeluaran inovatif kepada pasaran.

Azman berkata MIDA menawarkan insentif cukai bagi R&D yang boleh dinikmati oleh pengeluar dengan kemudahan R&D dalaman atau penyedia perkhidmatan penyelidikan.

Majlis pemeteraian itu adalah bersempena dengan misi perdagangan dan pelaburan ke Australia dari 19-23 Ogos, 2019, yang diketuai Darell. - BERNAMA

61 dibaca
Berita Harian X