Khamis, 22 Ogos 2019 | 10:26am
Aktiviti pembuatan Jepun menyusut bagi bulan keempat berturut-turut pada Ogos apabila pesanan eksport jatuh ketara. - Foto hiasan

Pembuatan Jepun menguncup untuk bulan ke-4

TOKYO: Aktiviti pembuatan Jepun menyusut bagi bulan keempat berturut-turut pada Ogos apabila pesanan eksport jatuh ketara, demikian menurut tinjauan awal perniagaan hari ini.

Bagaimanapun, aktiviti sektor perkhidmatan berkembang pada kadar paling pantas dalam hampir dua tahun, menunjukkan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan terus mengimbangi beberapa tekanan luaran terhadap ekonomi.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Jibun Bank Flash Japan meningkat kepada 49.5 yang disesuaikan secara bermusim daripada 49.4 bulan sebelumnya, tetapi kekal di bawah bacaan 50.0 yang memisahkan penguncupan daripada pengembangan untuk bulan keempat.

Output kilang dan jumlah pesanan baharu menguncup, walaupun pada kadar lebih sederhana berbanding Julai.

Pengukur aktiviti utama lain dalam laporan PMI menawarkan gambaran bercampur-campur.

Pekerjaan berkembang, sementara indeks pekerjaan naik ke paras tertinggi lapan bulan, walaupun ia masih kekal menguncup.

Tinjauan berasingan menunjukkan aktiviti perkhidmatan Jepun berkembang, sekali gus membantu menaikkan indeks komposit PMI yang merangkumi kedua-dua perkilangan dan perkhidmatan.

PMI Perkhidmatan Jibun Bank Flash Japan menokok kepada 53.4 pada Ogos, daripada 51.8 Julai berdasarkan asas pelarasan bermusim, dan adalah tahap tertinggi sejak Oktober 2017.

Eksport Jepun susut selama lapan bulan pada Julai, diseret turun oleh penghantaran bahagian automotif dan peralatan pengeluaran semikonduktor ke China.

Selain itu, keyakinan sektor pembuatan Jepun bertukar negatif buat kali pertama sejak April 2013, demikian menurut kajian Reuters Tankan. - Reuters

132 dibaca
Berita Harian X