Khamis, 22 Ogos 2019 | 12:16pm
HSBC berkata, semua pihak perlu menyelesaikan pertikaian melalui komunikasi berbanding keganasan. - Foto AFP

Bank Hong Kong terbit iklan rayu keamanan dikembalikan

HONG KONG: Bank-bank utama Hong Kong menerbitkan iklan penuh satu muka surat di akhbar, menggesa supaya undang-undang dikuatkuasakan dan mengecam sebarang keganasan, ketika protes pro-demokrasi tidak menunjukkan sebarang isyarat akan reda.

HSBC, Standard Chartered dan Bank of East Asia, yang menerbitkan iklan di akhbar-akhbar utama hab kewangan Asia itu, semuanya menggesa keamanan sosial dikembalikan.

Ribuan penduduk Hong Kong mengadakan protes anti kerajaan di stesen subway, di mana penunjuk perasaan diserang oleh sekumpulan lelaki berbaju putih bulan lalu.

Penunjuk perasaan di stesen subway berang kerana belum ada sesiapa yang didakwa di atas kekerasan itu.

Kemarahan tercetus pada Jun lalu susulan satu rang undang-undang yang kini digantung, membenarkan suspek jenayah di Hong Kong diekstradisi ke China untuk dibicarakan.

Bagaimanapun, ia memuncak menjadi satu cabaran populis terbesar yang dihadapi oleh Presiden China, Xi Jinping sejak mengambil alih jawatan pada 2012.

Ketegangan itu dimarakkan oleh kebimbangan lebih besar berhubung kebebasan yang dijamin di bawah formula ‘satu negara, dua sistem’ selepas Hong Kong kembali ke China pada 1997.

Beberapa lagi demonstrasi anti kerajaan dirancang beberapa minggu akan datang, termasuk rali oleh pelajar dan satu lagi mogok di beberapa daerah bandar raya itu awal bulan depan.

Protes berterusan akan memburukkan lagi kesannya kepada ekonomi bandar raya itu, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), demikian menurut amaran Bank of East Asia selepas ia melaporkan keuntungan bersihnya pada separuh pertama menjunam 75 peratus berikutan susut nilai pinjaman di China.

Protes itu sudah pun memberi kesan ke atas ekonomi dan pelancongan Hong Kong, apabila hab kewangan Asia itu dalam laluan berdepan kemelesetan pertama dalam tempoh sedekad.

Standard Chartered dalam iklannya berkata, bank menyokong kerajaan pentadbiran khas mengembalikan keamanan sosial dan melindungi status Hong Kong sebagai pusat kewangan antarabangsa.

HSBC berkata, semua pihak perlu menyelesaikan pertikaian melalui komunikasi berbanding keganasan. - Reuters

Berita Harian X