Khamis, 22 Ogos 2019 | 5:29pm
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming. - NSTP/Amirudin Sahib

RA Industry4WRD bantu PKS berpotensi ke arah Industri 4.0

KUALA LUMPUR: Penilaian Kesediaan Industry4WRD (RA Industry4WRD) akan menjadi platform bagi mengenal pasti syarikat perusahaan kecil dan sederhana  (PKS) berpotensi yang bersedia menghadapi persekitaran Industri 4.0.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berkata setakat ini, 60 PKS daripada 600 syarikat terpilih untuk menjalani program RA Industry4WRD bagi penghijrahan ke platform Industri 4.0.

"Penilaian masih dijalankan untuk mengenal pasti syarikat benar-benar berpotensi sebelum mereka layak menerima pemadanan geran sehingga RM500,000.

"Proses berkenaan (penilaian) akan mengambil masa satu hingga dua bulan untuk disiapkan. Senarai syarikat terpilih akan diumumkan pada Sidang Kemuncak Industri 4.0 oleh MITI pada Oktober ini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucap tama di Forum Transformasi Industri Asia Pasifik 4.0 (ITAP), di sini, hari ini.

Forum berkenaan adalah sebahagian daripada penganjuran ITAP 2019 yang bakal diadakan pada 22 hingga 24 Oktober ini di Singapura.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) secara rasminya melancarkan Pendaftaran Dalam Talian Penilaian Kesediaan Industry4WRD pada 28 Januari lalu bagi membantu syarikat yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Industri 4.0 dan memohon menyertai program penilaian kesediaan itu.

Syarikat yang memohon terdiri daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan untuk menilai keupayaan dan kesediaan mereka untuk menerima pakai teknologi dan proses Industri 4.0.

Mengulas mengenai harapan Bajet 2020, Kian Ming berkata, pihaknya masih mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk melihat sejauh mana perkembangan aktiviti Industri 4.0 dapat dilaksanakan.

"Kami yakin ia akan menerima maklum balas yang positif. Namun, saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri 4.0 Malaysia, VKK Rajasekaran, berkata penawaran pemadanan geran yang disediakan kerajaan berjumlah RM500,000 akan membantu PKS mengembang operasi mereka ke peringkat seterusnya.

"Daripada jumlah itu, 50 peratus akan diperuntukkan bagi segmen teknologi, 30 peratus untuk bakat (people) dan baki 20 peratus bagi pengurusan," katanya.

71 dibaca
Berita Harian X