Khamis, 22 Ogos 2019 | 5:42pm

Sektor tenaga dan utiliti paling menarik bagi pencari kerja

KUALA LUMPUR: Sektor tenaga dan utiliti menjadi sektor paling menarik bagi pencari kerja di Malaysia untuk bekerja, demikian mengikut hasil Penyelidikan Jenama Majikan 2019 yang dijalankan agensi penyelesaian sumber manusia terkemuka dunia, Randstad.

Berdasarkan penyelidikan yang dilaksanakan pada November-Disember 2018 membabitkan 2,504 responden dari 75 syarikat yang terbabit dalam 11 sektor di Malaysia itu mendapati sektor komunikasi maklumat dan teknologi menjadi sektor kedua paling menarik untuk bekerja di negara ini.

Sementara sektor pengangkutan dan logistik menjadi pilihan ketiga bagi pencari kerja di negara ini untuk bekerja.

Pengarah Urusan Randstad Singapura dan Malaysia, Jaya Dass, berkata gaji dan manfaat; keselamatan pekerjaan; persekitaran tempat kerja dan keseimbangan kerja dan kehidupan menjadi penentu kepada pekerja terutama golongan muda untuk terus berkhidmat dengan sesebuah syarikat atau organisasi.

Beliau berkata, apabila syarikat melabur untuk mewujudkan tempat kerja yang memberi inspirasi dan memperkasakan pekerja serta menjadikan pekerja berbangga dengan kerja yang mereka lakukan, tenaga kerja di organisasi berkenaan akan menjadi lebih bersemangat, sekali gus akan meningkatkan produktiviti.

“Kami berharap dapat melihat lebih banyak syarikat memberi tumpuan mengukuhkan jenama majikan mereka bagi meningkatkan kualiti perhubungan dengan tenaga kerja,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah Jenama Majikan 2019 Randstad Malaysia di sini, hari ini.

Dalam Penyelidikan Jenama Majikan 2019 mendapati, gaji dan manfaat yang menarik serta keseimbangan antara kerja dan kehidupan menjadi penentu utama bagi generasi milennial untuk terus kekal dengan majikan mereka.

Sebanyak 54 peratus responden milennial yang berusia antara 25-34 tahun memilih untuk kekal berkhidmat jika majikan berupaya menawarkan gaji dan manfaat yang menarik, sementara 45 peratus responden milennial pula memilih keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang sihat, manakala 37 peratus responden pula memilih peluang kemajuan kerjaya untuk terus kekal berkhidmat.

Sementara itu, faktor utama yang mendorong milennial untuk meninggalkan pekerjaan adalah laluan kerjaya yang terhad, pampasan yang rendah dan isu keseimbangan antara kerja dan kehidupan.

Sementara itu, Randstad menobatkan PETRONAS sebagai Majikan Paling Menarik di Malaysia bagi 2019 untuk kali kedua, kemudian diikuti tangga kedua oleh Shell Malaysia dan Nestlé Malaysia menduduki tempat ketiga.

Syarikat tempatan lain yang tersenarai dalam kategori 10 Majikan Paling Menarik adalah AirAsia Bhd dan Sime Darby Bhd.

106 dibaca
Berita Harian X