Jumaat, 23 Ogos 2019 | 8:04am

Terbitan Cagamas bernilai RM1.8 bilion Ogos

KUALA LUMPUR: Cagamas Bhd, hari ini mengumumkan pemuktamadan gabungan terbitan bernilai RM605 juta yang terdiri daripada Kertas Komersial Konvensional (CCP) bertempoh tiga bulan bernilai RM300 juta dan Kertas Komersial Islam (ICP) tiga bulan bernilai RM305 juta.

Perbadanan gadai janji negara itu berkata, hasil terbitan itu akan digunakan untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan dan pembiayaan rumah Islam daripada sistem kewangan domestik.

“Kami gembira dengan kejayaan pemuktamadan CCP dan ICP itu memandangkan ia masing-masing adalah terbitan keempat dan kelima bagi Ogos.

“Ini menjadikan jumlah nilai terbitan bagi bulan ini saja adalah RM1.8 bilion, paling tinggi bagi 2019 setakat ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Chung Chee Leong, dalam satu kenyataan.

Pemuktamadan itu menjadikan terbitan syarikat setakat ini bagi 2019 bernilai RM5.6 bilion.

Walaupun wujud ketidaktentuan ketara daripada unjuran kadar pertumbuhan global seperti dibuktikan menerusi beberapa pelonggaran dasar monetari di rantau ini, namun kertas konvensional dan kertas jangka pendek Islam itu memperoleh harga kompetitif yang dirujuk pada 15 mata asas di bawah Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur tiga bulan.

“Terbitan itu akan dilanggan sepenuhnya oleh institusi kewangan yang terus mencari aset pelaburan gred tinggi jangka pendek di peringkat domestik,” katanya.

46 dibaca
Berita Harian X