Jumaat, 23 Ogos 2019 | 8:16am
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking. - NSTP/Saifullizan Tamadi

ASEAN catat kemajuan bagi pelaksanaan Pelan Induk AEC 2025

MELBOURNE: ASEAN telah mencatat banyak kemajuan membabitkan pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti ASEAN (AEC) 2025, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata, usaha penyepaduan ekonomi itu adalah satu proses dinamik dan Pelan Induk AEC 2025 itu sedang dilaksanakan menerusi perancangan kerja pelbagai badan dalam ASEAN.

“Semua perancangan kerja itu sentiasa dinilai dan dikemaskini bagi memastikannya relevan dan berkesan,” katanya kepada BERNAMA pada seminar Peluang Perniagaan dan Pelaburan di Malaysia sebagai Pintu Masuk ASEAN, di sini malam tadi.

Mengulas selanjutnya, Darrell berkata jawatan pengerusi ASEAN yang dipegang secara bergilir dalam kalangan negara ASEAN pada setiap tahun, akan turut mengutamakan proses pelaksanaan tahunan itu dan pertubuhan itu mencatat banyak kemajuan.

Malah, kata beliau, antara pencapaian utama adalah pemansuhan tarif intra-ASEAN dan meningkatkan usaha menambah baik aspek kemudahan dagangan serta menangani langkah bukan tarif dalam blok itu.

Menurut Darell, tujuh negara anggota ASEAN turut menyertai operasi Tetingkap Tunggal ASEAN yang memudahkan transmisi elektronik sijil negara asal bagi tujuan tuntutan duti tertentu oleh pengimport, manakala baki negara anggota dijangka berbuat demikian dalam tahun ini.

“ASEAN turut terbabit dalam usaha memperkukuhkan aspek penyepaduan perkhidmatan dan pelaburan di rantau ini.

“Dua perjanjian penting dimeterai pada Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-25 pada 23 April lalu iaitu Perjanjian Perkhidmatan Perdagangan ASEAN dan Protokol Keempat untuk Meminda Perjanjian Pelaburan Komprehensif ASEAN,” katanya.

Beliau menyifatkan perjanjian itu hanya meningkatkan lagi liberalisasi bagi sektor perkhidmatan selain mengurangkan keperluan prestasi yang dikenakan bagi pelaburan intra-ASEAN.

Pencapaian lain termasuk Perjanjian Pergerakan Penduduk Asal dan merealisasikan kerjasama pengangkutan udara menerusi Dasar Langit Terbuka bagi pasaran ASEAN pada April 2016 yang merangkumi perkhidmatan penerbangan penumpang dan perkhidmatan kargo udara.

Menurutnya, Sekretariat ASEAN juga telah mewujudkan Direktorat Pemantauan Integrasi ASEAN (AIMD) dalam usaha memastikan Pelan Tindakan AEC 2025 berjalan lancar selain aspek penyepaduan ekonomi. - BERNAMA

64 dibaca
Berita Harian X