Isnin, 2 September 2019 | 5:34pm

Suasana ekonomi dunia jadi cabaran Belanjawan 2020

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober ini dijangka dirangka berhati-hati dipengaruhi pelbagai faktor dalaman dan luaran, menggunakan anggaran purata harga minyak mentah dunia sekitar AS$60 setong.

Penganalisis berpendapat, Belanjawan 2020 menjadi tugasan paling mencabar bagi kerajaan kerana beberapa faktor penting harus ditangani dengan segera, selain dipengaruhi suasana ekonomi global pada tahun depan yang dijangka lebih mencabar berikutan kesan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China terhadap perdagangan antarabangsa.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata kerajaan perlu memastikan Belanjawan 2020 masih mampu memenuhi aspirasi rakyat dan manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) di tengah-tengah ketidaktentuan harga komoditi.

“Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan defisit belanjawan tidak terlalu besar iaitu melebihi tiga peratus.

“Perangkaan perlu dibuat lebih teliti kerana Belanjawan 2019 dibuat dengan jangkaan hasil pendapatan minyak AS$70 setong, namun purata harga minyak kini hanya sekitar AS$60 setong,” katanya kepada BH.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan masih dalam fasa mengurangkan hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah kira-kira RM1 trilion yang boleh menjejaskan belanja mengurus dan pembangunan tahun depan, dengan kesannya boleh berlarutan untuk beberapa tahun.

Justeru, apa yang penting, katanya Belanjawan 2020 mampu untuk merencanakan perancangan kerajaan demi memastikan negara kekalberdaya saing dan meneroka peluang pendapatan baharu di bawah ekonomi digital, di samping tidak melupakan kepentingan rakyat yang berdepan kos sara hidup tinggi.

Belanjawan 2020 adalah yang terakhir di Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berpendapat, keutamaan belanjawan pada kali ini adalah merangsang pertumbuhan ekonomi berikutan sentimen perniagaan yang lemah.

“Kesan perang perdagangan AS-China akan mempengaruhi perdagangan antarabangsa dan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi terbuka dijangka menerima kesan dari sudut perdagangan dan pelaburan.

“Penekanan seharusnya diberi terhadap peruntukan perbelanjaan pembangunan yang dilihat mampu untuk merangsang pertumbuhan pelaburan swasta.

“Sehubungan dengan itu, sasaran defisit fiskal perlu dilihat semula dan selari dengan perkembangan ekonomi semasa.

“Sebaiknya, sasaran defisit tidak perlu diturunkan kerana peranan kerajaan adalah penting sebagai pemangkin pertumbuhan dalam keadaan prospek ekonomi yang begitu mencabar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie berkata ketidaktentuan global yang semakin meningkat dijangka menjadi cabaran untuk ekonomi negara menjelang 2020.

Katanya, untuk pasaran domestik, terdapat isu berkaitan meningkatkan kekuatan pelaburan swasta yang telah merosot dalam suku tahunan baru-baru ini, serta isu kos sara hidup dan perumahan mampu milik.

“Belanjawan 2020 akan terus menampung permintaan domestik bagi mengurangkan risiko luaran dan dalam masa yang sama menyediakan insentif untuk menyokong sektor swasta dan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pendirian belanjawan dijangka berkembang dan dalam masa yang sama memastikan defisit fiskal berkurangan secara beransur-ansur.

“Teras dasar belanjawan harus memberi tumpuan kepada pemeliharaan dan penciptaan pekerjaan untuk graduan; jaminan dana untuk PKS, Elaun Pelaburan Semula atau elaun penyusutan modal untuk pengembangan modal; kos bantuan hidup yang berterusan bagi isi rumah yang terpilih dan peruntukan yang lebih tinggi untuk pendidikan, penjagaan kesihatan, pengangkutan awam, pembangunan perindustrian (IR4.0), pembangunan modal insan dan perubahan iklim,” katanya.

Berita Harian X