Khamis, 5 September 2019 | 2:55pm

Cadangan sambung semula rundingan AS-China kukuhkan kebanyakan mata wang dunia

SINGAPURA: Mata wang yuan China dan dolar Australia menokok selepas berita Amerika Syarikat (AS)-China akan menyambung semula rundingan perdagangan bulan depan, tetapi pelabur menjual pelaburan selamat dalam yen, sungguhpun perang perdagangan yang reda akan memanfaatkan pengeksport Jepun.

Faktor lain yang membantu menyokong sentimen risiko, ialah peluang Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) pada 31 Oktober tanpa sebarang syarat atau ‘no-deal Brexit’ yang semakin kecil, dan potensi penyelesaian dalam krisis politik Hong Kong susulan langkah menarik balik rang undang-undang ekstradisi yang mencetuskan bantahan besar-besaran.

Pound British mengekalkan kenaikan semalaman, selepas parlimen British mengundi untuk menghalang no-deal Brexit dan Perdana Menteri Boris Johnson daripada mengadakan pilihan raya awal yang boleh memberikan beliau mandat untuk terus menghidupkan rancangan no-deal Brexit.

Pound British berada sekitar AS$1.2241 dan euro pada AS$1.1027, kebanyakannya mengekalkan kenaikan semalaman.

Dolar Australia, dolar New Zealand, yuan China dan won Korea Selatan kesemuanya melonjak berbanding dolar AS, sementara yen turun hampir 0.4 peratus kepada 106.75 berbanding dolar AS, paling lemah dalam lebih tiga minggu.

Dolar Australia mencecah paras tertinggi satu bulan kepada $0.6825, dilihat sebagai paras rintangan teknikal manakala dolar New Zealand mencecah paras puncak satu minggu kepada $0.6377.

Won yang terdedah kepada perdagangan mencatat peningkatan tertinggi berbanding mata wang Asia lain, mengukuh sekitar 0.5 peratus kepada 1198.00 setiap dolar.

Dolar Kanada menokok kepada C$1.3344 berbanding dolar AS selepas Bank of Canada mengekalkan kadar faedah. - Reuters

Berita Harian X