Rabu, 11 September 2019 | 3:01pm

Firma AS di China terjejas akibat perang perdagangan - AmCham

SHANGHAI: Perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China memberi tekanan kepada prospek pelaburan dan keuntungan untuk syarikat AS yang beroperasi di China, menurut kaji selidik oleh persatuan perniagaan terkemuka AS.

Kali selidik oleh Dewan Perniagaan Amerika di Shanghai (AmCham) mendapati walaupun kebanyakan syarikat anggotanya mencatatkan keuntungan pada 2018, namun pertumbuhan pendapatan didapati jatuh.

Unjuran untuk pendapatan masa depan juga jatuh, mencerminkan kesan kenaikan harga selepas pelaksanaan tarif.

Prospek untuk lima tahun buat pertama kalinya merosot sejak 2015, selepas pasaram saham China merundum.

“Unjuran pendapatan menurun, optimis mengenai masa depan juga merosot dan banyak syarikat mengalihkan pelaburannya yang pada asalnya dirancang untuk China,” kata AmCham dalam laporan kaji selidiik yang diterbitkan pada Rabu.

Prestasi kurang memberangsangkan itu muncul selepas peruncding AS dan China bersedia untuk bertemu di Washington pada Oktober ini.

“Tanpa menandatangani sebarang perjanjian perdagangan, 2019 adalah tahun yang sukar, tanpa perjanjian perdagangan, 2020 mungkin lebih buruk,” menurut laporan itu.

Kebanyakan syarikat anggota AmCham menentang penggunaan tarif untuk menangani pertikaian perdagangan, dengan tiga perempat responden mengatakan bahawa mereka menolak.

Kaji selidik itu dijalankan antara 27 Jun dan 25 Julai, sebelum pusingan terakhir kenaikan tarif berlaku dan menerima 333 maklum balas, kata AmCham.

Lebih satu perempat daripada responden menyatakan mereka mengalihkan pelaburan yang asalnya dirancang untuk China ke negara lain, Asia Tenggara adalah destinasi utama, diikuti India, menurut tinjauan itu.

145 dibaca
Berita Harian X