Rabu, 11 September 2019 | 6:45pm

MyCEB peroleh 301 acara perniagaan dengan impak ekonomi bernilai RM3.9 bilion

KUALA LUMPUR: Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) telah memperoleh 301 acara perniagaan antara 2019 dan 2028 dengan impak ekonomi dianggarkan RM3.9 bilion dalam separuh pertama tahun ini.

Dalam kenyataan, MyCEB, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, berkata acara perniagaan itu dijangka menarik 570,741 perwakilan, termasuk 208,555 perwakilan antarabangsa.

Antara bidaan yang menang adalah Simposium Kepimpinan Cendekiawan Universiti (USLS 2019), Forum Urban Asia Pasifik ke-7 (APUF 7) 2019, Persidangan Guru (ETC 2021) Majlis Sekolah Rantau Asia Timur (EARCOS) Ke-19 dan Persidangan Persatuan Pelancongan Perubatan Antarabangsa (CISTM 2021).

Sementara itu, bagi Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM 2020) akan datang, Malaysia telah menyusun sehingga 37 acara perniagaan setakat Julai 2019 dengan dijangka menghimpunkan lebih 44,600 perwakilan, khususnya daripada industri penjagaan kesihatan, telekomunikasi, sains dan teknologi.

MyCEB, bersama-sama dengan rakan kongsi industri, telah meraih rekod mengagumkan iaitu menganjurkan 1,100 acara perniagaan antarabangsa dalam tempoh lapan tahun lalu, merangkumi persidangan antarabangsa, mesyuarat korporat, insentif pameran pelancongan dan perdagangan yang telah menyumbang kepada impak ekonomi dianggarkan RM8.5 bilion kepada negara. - BERNAMA

47 dibaca
Berita Harian X