Isnin, 16 September 2019 | 2:00pm
KEBAKARAN hutan di Palangka Raya, Wilayah Kalimantan Tengah. - Foto Reuters
KEBAKARAN hutan di Palangka Raya, Wilayah Kalimantan Tengah. - Foto Reuters

ASEAN perlu tangani punca fizikal, politik isu kebakaran hutan, jerebu

KUALA LUMPUR: Cara terbaik untuk meminimumkan risiko jerebu rentas sempadan yang semakin teruk di rantau ASEAN adalah dengan menangani punca fizikal dan politik berhubung isu kebakaran hutan dan jerebu.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Dr Helena Varkkey, berkata wawasan ASEAN bagi rantau bebas jerebu menjelang 2020 banyak bergantung kepada iltizam politik Indonesia untuk menangani kebakaran di dalam negara itu secara berkesan dan menerima bantuan tepat pada waktunya.

Dalam masalah jerebu merentas sempadan yang sedang melanda, Indonesia dilihat keberatan untuk menerima bantuan daripada Malaysia.

"Kita tidak pasti sekiranya akan berlaku satu lagi pusingan kebakaran besar pada tahun depan. Bagaimanapun, sama ada ini akan mengakibatkan jerebu di rantau ini akan banyak bergantung pada usaha pencegahan oleh pihak Indonesia, yang diharapkan dapat melaksanakannya dengan sebaik mungkin apabila kebakaran yang sedang berlaku dipadamkan sepenuhnya.

"Tetapi kita perlu ingat bahawa tahun bebas jerebu rentas sempadan, malah sekiranya 2020 adalah bebas jerebu, tidak bermakna tahun berikutnya juga akan bebas jerebu," katanya dalam temuramah dengan BERNAMA menerusi e-mel.

Lebih 4,000 titik panas dikesan di kawasan tengah dan barat Indonesia dengan pihak berkuasa tempatan menugaskan anggota untuk memadamkan kebakaran yang menyebabkan jerebu menyelubungi rantau ini.

Kerajaan Indonesia dilaporkan menyita ladang termasuk konsesi milik syarikat asing, berhubung pembakaran terbuka.

Sementara itu, jerebu rentas sempadan daripada kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera menyebabkan ratusan sekolah di Sarawak dan Johor ditutup kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara, Jabatan Alam Sekitar menunjukkan kualiti udara di beberapa daerah di dua negeri itu mencatatkan paras sangat tidak sihat.

Bagaimanapun kerajaan Indonesia sekali lagi enggan menerima kesalahan itu, mendakwa asap jerebu yang menjejaskan Kuala Lumpur berpunca dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Ia menolak aduan Malaysia berhubung asap bahaya yang berpunca daripada kebakaran hutannya yang merebak merentas sempadan, menyatakan kebakaran turut berlaku di bahagian Malaysia dan ladang milik Malaysia di Indonesia.

Varkkey berkata, saling menuding jari antara satu sama lain tidak akan membantu, berikutan Presiden Joko Widodo, sejak beberapa tahun lalu, menyatakan bahawa walaupun berlaku kebakaran hutan di Indonesia, ini tidak menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Namun, Malaysia bergantung pada data serantau Pusat Meteorologi Khas ASEAN yang menunjukkan kebanyakan asap itu datang dari Indonesia.

"Bagaimanapun, kita juga perlu mengakui bahawa kita juga mempunyai beberapa kejadian kebakaran di kawasan kita, walaupun ia tidak sebesar yang berlaku (di Indonesia’s) - ini tidak patut diketepikan.

"Juga terdapat isu berterusan berhubung latar belakang ladang milik Malaysia yang beroperasi di Indonesia yang juga mungkin mempunyai peranan dalam pembersihan hutan yang secara langsung atau tidak langsung menyebabkan kebakaran," kata Varkkey.

Beliau berkata kedua-dua negara perlu melihat lebih jauh daripada saling menyalahkan antara satu sama lain berhubung puncanya, dan sebaliknya perlu memberi tumpuan pada mencari penyelesaiannya, melaksanakan kerjasama berkesan dalam aktiviti pencegahan, dan segera menyelaraskan bantuan rentas sempadan pada peringkat awal kebakaran.

Satu contoh aktiviti pencegahan itu adalah melaksanakan semula inisiatif dalam memorandum persefahaman lama antara kedua-dua negara berhubung penggunaan tanah dan latihan pengurusan kebakaran, kata Varkkey.

Bagi mencapai rantau bebas jerebu, negara anggota ASEAN perlu mengambil langkah pencegahan seperti membina bangunan blok terusan untuk memastikan tanah gambut, sama ada yang masih asli atau sudah dibangunkan, kekal berair dan tidak mudah terbakar; melindungi hutan sensitif daripada ditebang; dan mengawal ketat penggunaan cara pembakaran bagi pertanian dan perladangan. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X