Jumaat, 20 September 2019 | 9:16am

Bank of England kekalkan kadar faedah pada 0.75%

LONDON: Bank of England (BoE) berkata ia mengundi untuk mengekalkan kadar faedah utamanya pada 0.75 peratus selepas mengambil kira ketidaktentuan Brexit dan pertumbuhan global yang lemah.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memutuskan sebulat suara untuk mengekalkan kos pinjaman pada mesyuarat itu, demikian menurut minit mesyuarat BoE.

"Sejak mesyuarat MPC sebelum ini, perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China semakin meruncing, dan prospek pertumbuhan global semakin lemah," kata BoE.

Ia juga menyatakan bahawa "peralihan harapan tentang masa dan potensi masa depan Brexit terus menimbulkan ketidakstabilan dalam harga aset United Kingdom (UK), khususnya kadar pertukaran sterling."

Ini berbeza dengan keputusan Bank Pusat Eropah (ECB) dan Rizab Persekutuan AS yang kedua-duanya mengurangkan kadar faedah.

"Sekiranya ‘no-deal Brexit’ berlaku, kadar pertukaran mungkin akan jatuh, inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) naik dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara (KDNK) semakin perlahan," kata BoE.

Pound menunjukkan reaksi kecil berhubung keputusan kadar faedah UK yang dijangkakan itu, ketika mana pelabur mencerna berita penurunan harga 0.2 peratus dalam jualan runcit British pada Ogos.

"Memandangkan penyusutan KDNK pada suku kedua, kejatuhan inflasi teras kepada paras terendah hampir tiga tahun pada Ogos dan drama Brexit yang berterusan, tidak ada peluang bagi MPC menaikkan kadar faedah," kata Thomas Pugh di Capital Economics.

Secara berasingan, BoE menerbitkan tinjauan yang memperlihatkan bahawa hampir dua pertiga daripada hampir 400 syarikat UK merasakan mereka "bersedia" menghadapi ‘no-deal Brexit’, susut sedikit berbanding Julai.

Peratusan syarikat yang tidak merasa bersedia untuk ‘no-deal Brexit’ meningkat kepada satu dalam enam, daripada sekitar satu dalam sepuluh.

Britain dijangka meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada 31 Oktober, walaupun tanpa sebarang perjanjian demikian menurut Perdana Menteri Boris Johnson. - AFP

Berita Harian X