Khamis, 26 September 2019 | 8:30am

Belanjawan 2020 akan kurangkan tekanan jika berlaku kemelesetan ekonomi global - AllianceDBS

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020, yang akan dibentangkan pada 11 Oktober depan, dijangka menjadi bajet pengembangan untuk mengurangkan tekanan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia sekiranya berlaku potensi kemelesetan ekonomi global pada 2020, kata AllianceDBS Research.

Bagaimanapun, kerajaan mungkin berdepan kesukaran untuk memperkenalkan langkah-langkah pengembangan di samping mengekalkan usaha untuk mengurangkan defisit fiskalnya disebabkan oleh paras hutang kerajaan yang tinggi ketika ini, kata firma penyelidikan itu dalam satu nota.

"Keseluruhannya, kami menjangka kerajaan mengekalkan sasaran untuk mengurangkan defisit fiskal negara kepada 3.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini daripada 3.7 peratus pada 2018.

“Namun, kami menjangkakan defisit fiskal kekal berada dalam keadaan mencabar pada sekitar 3.2 peratus pada 2020, lebih tinggi daripada 3.0 peratus disasarkan dalam belanjawan sebelumnya,” kata firma itu.

Walaupun sasaran itu mungkin tidak tercapai berikutan pembiayaan tambahan diperlukan, firma penyelidikan itu berkata langkah-langkah pengembangan penting untuk merangsang ekonomi bagi menangani persekitaran pertumbuhan global yang perlahan.

Pada separuh pertama 2019, ekonomi Malaysia berkembang perlahan pada kadar 4.7 peratus berbanding 4.9 peratus dalam tempoh yang sama 2018 berikutan pertumbuhan sektor pembuatan yang sederhana dalam keadaan kelembapan pelaburan awam dan swasta.

AllianceDBS Research berkata Bantuan Sara Hidup (BSH) kemungkinan akan dinaikkan kepada RM360 berdasarkan kepada jangkaan subsidi bahan api bersasar sebanyak RM30 sebulan bagi tempoh 12 bulan, yang dijangkakan dilaksanakan pada suku keempat tahun ini.

"Ini kemungkinan akan membawa kepada pemberian tambahan sebanyak RM1.08 bilion," kata firma penyelidikan itu.

Walaupun kerajaan menyatakan tiada pelaksanaan cukai tambahan pada belanjawan akan datang, firma penyelidikan itu berkata ia menjangkakan cukai digital akan dilaksanakan kali ini, seperti yang dirancang dalam belanjawan sebelumnya, untuk memberikan aliran pendapatan tambahan kepada kerajaan.

"Berhubung fiskal, kami mengharapkan kerajaan mengamalkan perbelanjaan berhemat dan mempelbagaikan sumber pendapatannya.

"Pada tahun-tahun mendatang, kami percaya kerajaan berkemungkinan akan mengurangkan hasil berkaitan minyak berikutan harga minyak mentah Brent yang tidak menentu, manakala cukai pendapatan korporat dijangka kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil kerajaan," kata firma itu.

AllianceDBS Research mengunjurkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.7 peratus dan 4.5 peratus masing-masing bagi 2019 dan 2020, memandangkan pertumbuhan global sederhana ekoran cabaran seperti perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, prestasi tidak menentu mata wang pasaran sedang pesat membangun dan ketegangan geopolitik. - BERNAMA

Berita Harian X