Khamis, 26 September 2019 | 3:00pm
ONG Kian Ming
ONG Kian Ming

'Tiada lagi insentif cukai untuk syarikat gagal berkembang'

KUALA LUMPUR: Syarikat yang telah diberikan insentif cukai di masa lalu tetapi gagal berkembang maju tidak lagi akan diberikan layanan sama sekiranya mereka terus beroperasi dengan cara sama di masa depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming, berkata perkara itu telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC).

“Terdapat cadangan dikemukakan pada waktu kami menubuhkan jawatankuasa (pembaharuan cukai), yang mungkin membabitkan insentif cukai ditawarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), misalnya.

“Kami bersetuju bahawa jika mana-mana syarikat telah mendapat kelulusan bagi insentif itu di masa lalu, namun masih berada di takuk lama dan sedikit sebanyak bergerak ke hadapan, ia sepatutnya tidak meneruskan untuk insentif itu diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa diminta mengulas cadangan pakar ekonomi, Jomo Kwame Sundaram supaya kerajaan memansuhkan insentif cukai yang tidak lagi relevan.

Sidang media itu diadakan selepas Persidangan Industri 4.0 2019 Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) di sini, hari ini.

Jomo sebelum itu dipetik sebagai berkata, Malaysia telah menawarkan insentif cukai sejak 1950-an dan sesetengah syarikat telah memanipulasi akaun mereka untuk terus menikmati insentif cukai itu.

“Kami tidak boleh menarik balik insentif yang telah diberikan, tetapi apa yang kami boleh lakukan adalah memperhalusi semula dasar insentif kami, untuk masa depan.

“Tetapi sekiranya mereka membawakan produk dan proses berteknologi tinggi dan pelaburan modal baharu, saya fikir perkara seumpama ini patut digalakkan," kata Kian Ming.

-BERNAMA

Berita Harian X