Selasa, 1 Oktober 2019 | 2:38pm
Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Kamal Salih. NSTP/Rohanis Shukri.

Perkenal semula GST dalam Belanjawan 2020 - MIER

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berharap kerajaan  memperkenalkan semula  Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Kamal Salih, berkata cukai kepenggunaan itu adalah sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau berkata, kadar yang bersesuaian  jika kerajaan melaksanakan semula sistem percukaian itu adalah tiga peratus.

Katanya, pengenalan semula GST pada kadar yang lebih rendah bersama pemberian subsidi akan membantu mengurangkan kos sara hidup, terutama golongan berpendapatan rendah  di negara ini.

“GST adalah sistem yang adil dan SST tidak berupaya memenuhi keperluan yang disumbangkan GST,” katanya ketika ditemui selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama tujuh syarikat di bawah ‘MIER's Crouching Tiger Research Plan’ di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai harapan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan kerajaan pada 11 Oktober ini.

Mengenai tinjauan ekonomi negara, MIER mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.7 peratus tahun ini dan 4.9 peratus tahun depan.

Mengulas mengenai MoU yang dimeterai di bawah MIER's Crouching Tiger Research Plan, Kamal berkata, tujuh MoU itu membabitkan projek berteknologi tinggi yang akan menstransfomkan ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, tujuh MoU itu membabitkan projek dengan potensi pelaburan AS$42 bilion (RM176 bilion).

Katanya, menerusi MoU itu, MIER akan bertindak sebagai perunding dengan menyediakan kajian daya maju  dan perancangan perniagaan serta berurusan dengan pihak berkuasa berkaitan untuk cadangan pelaksanaan projek berteknologi tinggi itu.

Antara projek yang dicadangkan adalah bas elektrik, teknologi hijau dan tenaga hijau.

Berita Harian X