Jumaat, 4 Oktober 2019 | 11:10am
Gambar fail, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Datuk Wira Jalilah Baba. - Foto Surianie Mohd Hanif

Pembabitan MIER, ISIS penting jika mahu laksana semula GST

KUALA LUMPUR: Pembabitan pakar ekonomi swasta seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) penting jika kerajaan berhasrat untuk melakukan kajian bagi memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Datuk Wira Jalilah Baba, berkata ini penting kerana perbandingan teliti perlu dibuat untuk melihat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) atau GST yang lebih menguntungkan rakyat.

Jalilah yang juga bekas Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagaimanapun mengakui SST yang diperkenalkan 1 September 2018 membebankan peniaga.

GST yang diperkenalkan pada 1 April 2015 dimansuhkan dan berkadar sifar mulai Mei hingga Ogos 2018.

“Pendapat ahli perniagaan lebih cenderung kepada GST kerana terdapat mekanisme yang mana kos dapat ditolak daripada jumlah pendapatan yang dikenakan cukai.

“Betul, GST lebih baik daripada SST. (Ini kerana cukai) SST yang dikenakan adalah berasaskan invois dan cukai input tidak boleh dituntut seperti GST dan ini menjadi kos kepada perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, kadar tiga peratus GST yang dicadangkan MIER adalah bersesuaian jika kerajaan mahu memperkenalkan semula GST, seiring negara yang menggunapakai sistem percukaian berkenaan.

“Negara lain kecuali India memulakan GST pada kadar tiga peratus.

“Daripada kajian terdahulu sebelum GST diperkenalkan di Malaysia, memang tahap optimum adalah tiga peratus tetapi sebaliknya terus dikenakan enam peratus dan kadar itu turut membebankan peniaga,” katanya.

Jalilah berkata, pengalaman pelaksanaan GST sebelum ini juga dapat membantu kerajaan menambah baik mekanisme percukaian berkenaan agar lebih berkesan dan mesra rakyat.

Beliau berkata, nilai ambang GST yang tinggi berbanding lebih RM500,000 setahun (pendapatan) sebelum ini akan turut membantu lebih banyak syarikat mendapat pengecualian cukai.

Mengulas kemungkinan pendapatan kerajaan berkurangan sekiranya GST diperkenalkan semula pada kadar tiga peratus, beliau berkata: “Sekali lalu memang seperti berkurangan tetapi kita tidak tahu (aspek) kelayakan yang mungkin diperkenalkan dan jenis perniagaan yang mungkin dikenakan atau dikecualikan cukai itu.”

Pada masa sama, beliau turut menjangkakan impak kepada kos peniaga bagi tempoh peralihan terbabit sekiranya terdapat penambahbaikan dalam sistem percukaian sedia ada.

“Kalau ada pelarasan dan perubahan perisian dilakukan, ini akan memberi tambahan kos,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan bersedia mengkaji keperluan memperkenalkan semula GST sekiranya itu kemahuan rakyat.

Sebelum ini, MIER menyarankan kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020 yang dijadual dibentangkan pada 11 Oktober ini.

-- BERNAMA

Berita Harian X