Isnin, 7 Oktober 2019 | 5:49pm
Pameran MATTA mencatat jumlah jualan dan bilangan pengunjung yang stabil tahun ini. - Arkib NSTP
Pameran MATTA mencatat jumlah jualan dan bilangan pengunjung yang stabil tahun ini. - Arkib NSTP

Pameran MATTA terus dapat sambutan

KUALA LUMPUR: Industri pelancongan dan pengembaraan terus menunjukkan pertumbuhan yang stabil walaupun berhadapan dengan unjuran kelembapan ekonomi serta cabaran perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) , Datuk Tan Kok Liang, berkata ia dibuktikan menerusi pameran MATTA yang mencatat jumlah jualan dan bilangan pengunjung yang stabil tahun ini.

Katanya, pameran MATTA yang baru berakhir bulan lalu mencatat anggaran nilai jualan keseluruhan sebanyak RM210 juta sepanjang tiga hari ia berlangsung.

“Daripada jumlah berkenaan, RM40 juta dijangka dijana daripada segmen domestik manakala selebihnya adalah daripada jualan destinasi antarabangsa.

“Berdasarkan laporan rumusan Pertandingan Pembeli Pameran MATTA yang diadakan, destinasi utama yang menjadi tumpuan pengunjung adalah Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah.

“Bagi segmen antarabangsa pula, destinasi yang mencatat jualan tertinggi adalah ke negara China, Korea Selatan, Jepun, Turki dan juga Perancis,” katanya pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan berkenaan di sini, hari ini.

Pameran MATTA yang berlangsung dari 6 hingga 8 September lalu mencatat jumlah pengunjung seramai 101,789 orang berbanding 93,084 orang pada September tahun lalu.

Penganjuran pameran kali ke-48 itu juga menempatkan gerai pameran tertinggi iaitu sebanyak 1,396 gerai merangkumi tujuh dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mengulas lanjut, Kok Liang berkata, pihaknya turut menghargai sokongan yang diterima daripada ahli MATTA, pempamer, penaja, Tourism Malaysia, Pejabat Pelancongan Negeri dan semua pihak yang terbabit dengan penganjuran pameran berkenaan.

“Pameran MATTA berikutnya akan kembali di PWTC pada 13 hingga 15 Mac depan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X