Khamis, 10 Oktober 2019 | 11:11am

Malaysia Airlines tambah penerbangan ke Beijing

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAB) akan meningkatkan kekerapan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Beijing daripada tujuh kepada 10 penerbangan seminggu bermula 1 Januari 2020.

Ia berikutan penukaran operasi syarikat penerbangan itu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Daxing (PKX) daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital (PEK).

Perkembangan ini, sebagai sebahagian daripada perubahan rangkaian ke China, dijangka mengukuhkan kedudukan MAB sebagai syarikat penerbangan utama yang beroperasi di China dan akan mempromosikan perdagangan dan pelancongan dua hala antara China dan Malaysia, kata MAB dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat penerbangan nasional itu melihat China sebagai pasaran pertumbuhan utama dan komited untuk meningkatkan hubungan yang mampan ke China sama ada melalui lebih banyak penerbangan langsung atau melalui perkongsian dengan syarikat penerbangan utama China.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Izham Ismail, berkata pembukaan gerbang baharu ini memberikan MAB peluang untuk memulakan lebaran baharu dalam sejarahnya yang panjang dengan Beijing.

Berpindah ke lapangan terbang Daxing yang baharu, akan memberi peluang kepada MAB untuk terus berkembang di Beijing pada masa akan datang, katanya.

"Ia akan meningkatkan pengalaman perjalanan dan tahap keselesaan penumpang kami dengan kemudahan terkini lapangan terbang dan akan memudahkan perhubungan yang lebih baik dengan rakan syarikat penerbangan kami yang lain. Perkembangan ini selaras komitmen MAB untuk menyediakan perkhidmatan dan tawaran yang lebih baik kepada penumpang dalam perjalanan mereka," katanya.

Bermula 1 Januari 2020, MH318 akan berlepas setiap hari dengan kekerapan tambahan pada Rabu, Jumaat dan Ahad.

Perkhidmatan harian akan berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 0:40 pagi dan tiba di PKX pada jam 7 pagi hari sama, manakala perkhidmatan penerbangan pulang harian MH319 akan berlepas dari PKX pada 9:30 pagi dan tiba di Kuala Lumpur pada 4:00 pagi hari yang sama.

Kekerapan tambahan, MH364, akan berlepas dari Kuala Lumpur pada 2:30 petang dan tiba di PKX pada 8:50 malam hari yang sama dan perkhidmatan balik MH365 akan berlepas dari Beijing Daxing pada 9:55 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada pukul 4:25 pagi keesokan harinya.

Berita Harian X