Khamis, 10 Oktober 2019 | 5:59pm

Felcra, firma Qatar rancang bangun ladang tenusu terbesar

KUALA LUMPUR: Felcra Bhd (Felcra) menerusi kerjasama entiti swasta terbesar Qatar, Baladna Food Industries WLL (Baladna) bakal membangunkan ladang tenusu terbesar Malaysia menjelang 2021.

Ladang berkenaan menyasarkan pengeluaran kira-kira 50 juta liter susu setahun, sekali gus mampu menampung keperluan tenusu domestik menjelang tempoh dua tahun akan datang.

Pengerusi Felcra, Datuk Nageeb Wahab, berkata kerjasama itu bertujuan menggandakan pengeluaran susu segar Malaysia sejajar dengan pelaksanaan Agenda Jaminan Makanan Negara.

“Menerusi kerjasama itu, Felcra menyediakan kawasan bersesuaian untuk penyediaan ladang, manakala Baladna menawarkan keperluan infrastruktur teknologi dan membekalkan lembu tenusu yang diimport.

“Setakat ini, Felcra sedang mengenal pasti beberapa kawasan berpotensi dan strategik untuk dibangunkan antaranya di wilayah tengah dan utara di Semenanjung, serta di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Felcra dan Baladna, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Baladna, Ramez Al Khayyat.

Nageeb berkata, kerjasama Felcra dengan syarikat dari luar negara adalah positif yang turut membantu meningkatkan pendapatannya pada masa depan.

“Usaha ini sememangnya akan memberikan pulangan baik kepada Felcra,” katanya.

Ditanya mengenai anggaran jumlah pelaburan bagi pembangunan ladang berkenaan, Nageeb berkata, ia sedang dirundingkan.

Sementara itu, Ramez berkata, Malaysia mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan ia boleh berkembang pesat pada masa depan.

“Kami memilih Malaysia disebabkan potensi dan peluang berkenaan. Kami juga yakin kerjasama ini berupaya meningkatkan penguasaran pasaran tempatan,” katanya.

Qatar kini berjaya menangani bekalan tenusu di negara berkenaan melalui pengeluaran dari ladang tenusu di Al Khor, Qatar.

Ladang berkenaan menempatkan 20,000 lembu tenusu dengan merekodkan kapasiti pengeluaran tahunan lebih 100 juta liter.

Berita Harian X