Selasa, 15 Oktober 2019 | 11:15am

Kerajaan dijangka lebih konservatif urus pembiayaan awam - Kenanga Research

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangkakan lebih konservatif dalam mengurus pembiayaan awam, dengan lebih ke arah mempromosi disiplin fiskal, mengoptimum dan mengekalkan unjuran belanjawan, kata Kenanga Research dalam satu nota.

Firma penyelidikan itu berkata, susulan unjuran pertumbuhan dunia yang perlahan dan dalam risiko menurun akibat perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, persekitaran pertumbuhan dunia mungkin lebih buruk (kemelesetan), sehubungan itu ia akan lebih mencabar untuk kerajaan mengekalkan sasaran rangka Kerja Fiskal Tempoh Sederhana (MTFF).

“Secara menyeluruh, unjuran MTFF bagi 2020-2022 lebih rendah berbanding MTFF 2019-2021, yang menunjukkan trajektori pertumbuhan dan unjuran makroekonomi keseluruhan yang merosot.

“Bagi MTFF 2020-2022, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjur dalam julat 4.5 peratus dan 5.0 peratus (2019-21: 4.5 dan 5.5 peratus), manakala harga minyak mentah diunjur antara AS$60 dan AS$65 satu tong (2019-21: AS$60-70 satu tong), berasaskan pengeluaran minyak mentah sebanyak 600,000 tong sehari,” katanya.

Susulan itu, Kenanga Research berkata defisit fiskal disasarkan pada purata 2.8 peratus daripada KDNK bagi tempoh tiga tahun, lebih rendah daripada 3.1 peratus pada MTFF 2019-2021 yang dibentangkan tahun lalu.

Sementara itu, Kenanga Research menyambut baik inisiatif kerajaan untuk keluar daripada pergantungan kepada hasil minyak dan meluaskan asas percukaian.

“Kutipan cukai terus menjadi penyumbang utama hasil, dianggarkan RM189.9 bilion pada 2020, peningkatan 5.5 peratus, dipacu kutipan cukai langsung yang lebih tinggi sebanyak RM142.7 bilion; (2019: RM135.6 bilion) dan cukai tidak langsung (RM47.3 bilion; 2019: RM44.4 bilion).

“Sebahagian besar peningkatan cukai langsung disumbang kutipan cukai pendapatan korporat yang lebih tinggi dan cukai pendapatan individu, hasil daripada prospek pendapatan korporat dan usaha yang lebih baik dalam meningkatkan pematuhan audit dan cukai,” katanya.

Kerajaan juga akan memperkenal jalur percukaian baharu ke atas mereka yang berpendapatan lebih RM2.0 juta setahun kepada 30 peratus (kini 28 peratus bagi mereka yang berpendapatan lebih RM1 juta), yang membabitkan kira-kira 2,000 individu berpendapatan tinggi dalam negara.

Kenaikan cukai tidak langsung disumbang oleh kutipan yang lebih tinggi dalam Cukai Jualan dan Perkhidmatan dengan unjuran penggunaan yang lebih tinggi, program Visit Malaysia 2020 dan pelbagai acara antarabangsa.

Untuk masa depan, inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kutipan hasil dan memperluas asas cukai dijangka meningkatkan jumlah hasil dan meningkatkan kecekapan pengagihan semula pendapatan negara.

Berita Harian X