Jumaat, 18 Oktober 2019 | 9:30pm
- Foto hiasan

Dialog BNM kukuhkan PKS Langkawi

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengadakan sesi dialog dengan institusi kewangan, pegawai kerajaan negeri dan komuniti perniagaan tempatan untuk mendapatkan maklum balas isu berkaitan pembiayaan dihadapi sektor perniagaan di Pulau Langkawi.

Bank pusat itu dalam satu kenyataannya, berkata, selain mendapatkan maklum balas berhubung akses kepada pembiayaan, BNM juga mengambil peluang berdialog dengan PKS bagi meningkatkan kesedaran terhadap inisiatif terkini Bank kepada sektor itu.

Katanya, dialog yang dipengerusikan Penolong Gabenor, Adnan Mohamad Zahid itu mendapat sambutan menggalakkan daripada PKS dan komuniti perniagaan termasuk daripada wakil 17 Persatuan PKS dan Dewan Perniagaan.

“Antara isu utama yang dibangkitkan PKS termasuk kurang kesedaran dan kefahaman bagi skim pembiayaan PKS, terutamanya pembiayaan mikro, ketidakpastian mengenai prospek perniagaan yang terlalu bergantung pada kegiatan pelancongan bermusim, inisiatif meningkatkan kelayakan peminjam dan isu penjadualan atau penstrukturan semula kemudahan kredit.

“Persatuan teksi turut memberikan maklum balas mengenai kos insurans yang tidak setara dengan risiko perniagaan di Langkawi, justeru BNM mengambil maklum pandangan tersebut dan akan bekerjasama dengan industri insurans bagi meneliti perkara terbabit,” katanya di sini, tadi.

Sementara itu, katanya, BNM juga menghuraikan langkah baharu yang diumumkan baru-baru ini dengan tujuan memperbaiki ekosistem pembiayaan PKS, seperti Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP) dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) yang diperluas skopnya.

Katanya, PKS digalakkan memiliki akaun semasa perniagaan yang diuruskan dengan baik supaya menjadi sokongan kuat terhadap permohonan pembiayaan untuk institusi kewangan.

“PKS juga boleh mendapat manfaat daripada Skim Pembiayaan Mikro yang membenarkan mereka memohon pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM50,000 daripada 10 buah institusi kewangan peserta.

“Perusahaan kecil atau mikro perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia supaya layak memohon skim pembiayaan, termasuk Tabung BNM untuk PKS,” katanya.

Berita Harian X