Isnin, 4 November 2019 | 3:52pm
KETUA Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow (tengah) bersama Ketua Pegawai Perniagaan Lazada Malaysia, Kevin Lee dan Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Malaysia, Diana Boo hadir pada pelancaran Festival Membeli-Belah Lazada 11.11 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aziah Azmee
KETUA Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow (tengah) bersama Ketua Pegawai Perniagaan Lazada Malaysia, Kevin Lee dan Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Malaysia, Diana Boo hadir pada pelancaran Festival Membeli-Belah Lazada 11.11 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aziah Azmee

'The Desa Project' Lazada bantu usahawan pedalaman

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang terkemuka Malaysia, Lazada menyokong pelaksanaan inisiatif ‘The Desa Project’, sebagai usaha memperkasakan usahawan tempatan dan petani luar bandar melalui e-dagang.

Inisiatif berkenaan juga bermatlamat memulih dan memperkukuhkan ekonomi komuniti pedalaman serta sebagai persediaan bagi masa depan lebih mampan.

‘The Desa Project’ adalah inisiatif oleh empat usahawan digital yang diilhamkan daripada kejayaan model ‘Taobao Village’ di China sewaktu di program latihan Alibaba Netpreneur, anjuran bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Ketua Pegawai Perniagaan Lazada Malaysia, Kevin Lee, berkata Lazada sentiasa meneruskan komitmen dalam membantu usahawan tempatan dan petani luar bandar untuk terus mengembangkan perniagaan mereka.

“Kami memberikan tumpuan dan komitmen tinggi dalam membantu usahawan terutama di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Lazada memberi ruang dan platform kepada usahawan berkenaan untuk mempromosikan produk mereka.

“Setakat ini terdapat kira-kira 10 rangkaian produk yang dihasilkan di kalangan usahawan tempatan dari kawasan pedalaman dijual menerusi platform kami,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Festival Membeli-Belah Lazada 11.11, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow dan Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Malaysia, Diana Boo.

Lee berkata, Lazada Malaysia juga menjadi platform untuk kedai dalam talian ‘Desaku Flagship Store’ di LazMall, yang menjual produk hasil tempatan termasuk beras organik Orang Asli, kacang tanah Sempalit, sos soya Bentong dan serbuk halia Bentong.

Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran festival berkenaan, Lee berkata, sejumlah 16 jenama eksklusif antarabangsa dan tempatan termasuk Apple, Estee Lauder dan Dyson yang menjadikan Lazada Malaysia sebagai pilihan platform e-dagang eksklusif mereka.

“Ini adalah tahun ketujuh 11.11 yang akan berlangsung di Malaysia sejak diperkenalkan pada 2012. Lazada berjaya menjadikan 11.11 sebagai salah satu peneraju industri utama, yang telah mengubah cara pengguna membeli belah dan cara peniaga menjalankan perniagaan.

“Kerjasama dengan pelbagai rangkaian jenama besar global dan serantau akan memperkukuhkan lagi kedudukan Lazada sebagai platform e-dagang pilihan paling dipercayai untuk memesatkan perniagaan dalam talian mereka,” katanya.

Festival Membeli-Belah Lazada 11.11 juga diserikan dengan Super Show 11.11 pada 10 November ini dengan penampilan artis sensasi Kpop, Apink serta barisan artis tempatan seperti Ayda Jebat, Zizan Razak, Hael Husaini, Siti Nordiana dan Naim Daniel.

Berita Harian X