Khamis, 7 November 2019 | 5:12pm
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri hadir pada Majlis Pelancaran Level Up KL 2019, di Bangsar South. - Foto Zunnur Al Shafiq

Dasar kandungan digital Malaysia dilancar akhir tahun

KUALA LUMPUR: Dasar Ekosistem Kandungan Digital (DICE) yang bertujuan memperkukuhkan industri kandungan digital dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab industri pembuatan kandungan digital serantau akan dilancarkan pada akhir bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri, berkata dasar itu kini dalam peringkat akhir dan bakal menjadi agenda utama negara dalam memacu pertumbuhan kandungan digital.

Beliau berkata, industri digital menunjukkan peningkatan ketara tahun ke tahun dan Malaysia sendiri mempunyai pelbagai inisiatif dan kepakaran dalam perkara itu.

“Lantaran itu, rangka kerja dasar perlu ada untuk memberikan negara hala tuju dalam 10 tahun akan datang mengenai kandungan digital.

“Kita mahu meningkatkan ekosistem kandungan digital, bagi menjadikan Malaysia mampu mencapai sasaran sebagai hab industri pembuatan kandungan digital serantau,” katanya selepas melancarkan edisi kelima ‘Level Up KL’ di sini, hari ini.

Surina berkata, MDEC turut akan perkenalkan strategi Ekosistem Kandungan Digital, selari dengan usaha untuk mengesahkan Malaysia sebagai destinasi pilihan, dari segi ekosistem pembangunan permainan serantau.

Kerajaan, katanya sentiasa peka dengan perkembangan industri digital dengan turut mengumumkan cadangan RM20 juta untuk membangunkan industri e-sukan tempatan dalam Belanjawan 2020 yang lalu.

Sementara itu, pada majlis berasingan, Sedania Innovator Bhd menerusi syarikat tujuan khas (SPV), Esports Pte Ltd (ESPL) yang terbabit dalam industri e-sukan memeterai dua memorandum persefahaman dengan Axis Esports Sdn Bhd dan eGG Network.

Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor, berkata kerjasama itu bagi Liga Pro e-sukan, pertandingan e-sukan global dan rangkaian media, ekosistem bersepadu dan terbuka bagi pertandingan, jenama media, penerbit, pasukan dan pemain yang memberi tumpuan kepada komuniti dan interaktiviti digital.

“Ini adalah cabang baru Sedania dalam industri e-sukan, dan kami melihat ia adalah satu industri yang berpotensi untuk berkembang.

“Pendedahan dalam pembangunan industri ini akan berlangsung dalam jangka masa panjang. Ini adalah fokus pertumbuhan baru kami,” katanya.

Pada majlis itu, Media Prima Digital turut mengumumkan kerjasama dengan syarikat media digital global, Ziff Davis, yang juga sebahagian daripada firma senaraian NASDAQ, J2 Global Inc, untuk mengendalikan IGN Asia Tenggara kepada penggemar hiburan dan permainan digital di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.

IGN adalah jenama media terkenal di dunia dalam kalangan peminat permainan digital, filem dan hiburan.

Berita Harian X