Selasa, 26 November 2019 | 5:28pm

Pasukan petugas khas dron ditubuh awal tahun hadapan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan pasukan petugas khas pembangunan industri dron negara yang dikenali dengan kod nama DroneTech Taskforce pada awal tahun hadapan.

Penubuhan pasukan itu bertujuan memacu inisiatif Global Testbed yang dipersetujui dalam mesyuarat MSC Implementation Council Meeting (ICM), dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dihadiri oleh beberapa Menteri Kabinet Kanan, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri, berkata pasukan petugas itu akan menumpukan kepada teknologi dan aplikasi dron secara lebih meluas, tanpa tertumpu semata-mata kepada penggunaan dron untuk tujuan pengangkutan.

Katanya, kerajaan juga berminat memajukan industri dron kerana ia berupaya memangkin pembangunan kepakaran dalam data dan kepintaran buatan (AI).

“Dalam mesyuarat ICM yang lalu, kami ada membincangkan potensi industri dron dan kepentingan Malaysia menjadi lapangan pengujian teknologi dengan memulakan projek perintis dron di sini.

“Bagi pembangunan industri teknologi dron, Malaysia sangat memerlukan strategi, dasar dan peraturan yang kondusif untuk mempercepatkan pembangunan ekosistem dron yang mampan.

“Kini Malaysia mempunyai beberapa syarikat teknologi dron tempatan yang bersaing di taraf global. Perkhidmatan teknologi dron yang mereka sediakan turut digunakan oleh syarikat besar di Malaysia seperti Sime Darby,” katanya kepada media selepas pelancaran platform tukaran mata wang kripto di sini, tadi

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini sudah ada industri mula menerapkan aplikasi dron dalam operasi syarikat masing-masing.

Ia termasuk kumpulan Sime Darby yang membangunkan dron untuk membantu pengurusan perladangan secara meluas.

Susulan itu, katanya, kemahiran berteraskan teknologi dron, AI serta teknologi data kini diperkenalkan dalam kursus agro di bawah Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Jangan melihat dron semata-mata untuk penggunaan pengangkutan, banyak lagi penggunaannya yang lain dan lebih diperlukan kerana aplikasi dron sangat meluas dan dapat digunakan bagi memangkin industri di negara ini,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X