Isnin, 9 Disember 2019 | 9:12am
Pemandangan bandar Shinjuku di Tokyo berlatarbelakangkan gunung tertinggi di Jepun, Gunung Fuji. - Foto AFP

Pertumbuhan ekonomi suku ketiga Jepun di semak naik

TOKYO: Ekonomi Jepun berkembang pada kadar lebih pantas daripada jangkaan pada suku ketiga (Julai-September), didorong permintaan domestik yang mantap walaupun eksport kurang memberangsangkan susulan pertumbuhan global yang perlahan dan ketegangan perdagangan.

Pertumbuhan yang lebih pantas itu disumbang peningkatan perbelanjaan modal dan penggunaan swasta, yang mana kedua-duanya berkembang pada suku kedua, mengimbangi kejatuhan daripada penurunan eksport.

Ekonomi meningkat 1.8 peratus pada asas tahunan pada Julai-September, lebih kukuh daripada bacaan awal 0.2 peratus, demikian menurut data Pejabat Kabinet hari ini.

Bacaan itu, yang menandakan pertumbuhan suku keempat berturut-turut, turut mengatasi ramalan median 0.7 peratus yang dibuat pakar ekonomi.

Pertumbuhan tahunan diterjemahkan kepada pengembangan suku ke suku berkembang sebanyak 0.4 peratus daripada suku kedua, berbanding bacaan awal kenaikan 0.1 peratus.

Perbelanjaan modal naik 1.8 peratus daripada suku sebelumnya, lebih tinggi daripada unjuran kenaikan 0.9 peratus dan mengatasi unjuran kenaikan median 1.7 peratus.

Penggunaan swasta, yang menyumbang 60 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), menokok 0.5 peratus daripada tiga bulan sebelumnya, lebih baik sedikit daripada bacaan awal kenaikan 0.4 peratus.

Eksport bersih, iaitu atau eksport selepas ditolak import, menguncup 0.2 mata peratusan daripada pertumbuhan KDNK yang disemak semula, manakala permintaan dalam negeri menambah 0.6 mata peratusan.

Semakan KDNK yang lebih baik daripada jangkaan berlaku selepas eksport dan output perkilangan mencatat penurunan terbesarnya pada Oktober, mendedahkan keretakan yang semakin meluas dalam ekonomi yang teruk terkesan akibat penurunan permintaan. - Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X