Rabu, 11 Disember 2019 | 8:15am
Gambar fail, Timbalan Presiden Alibaba Group, Brian Wong. - Foto Azhar Ramli
Gambar fail, Timbalan Presiden Alibaba Group, Brian Wong. - Foto Azhar Ramli

Malaysia di kedudukan kukuh tembusi pasaran global - Alibaba Group

UALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk membantu syarikat tempatan meneroka beberapa pasaran terbesar di seluruh dunia memandangkan ia mempunyai masyarakat pelbagai budaya yang berminat memanfaatkan ekonomi digital, menurut Alibaba Group.

Timbalan Presiden inisiatif global kumpulan itu, Brian Wong, berkata Alibaba akan terus menyokong perniagaan di Malaysia dan membantu mereka mencapai potensi sepenuhnya sepanjang tempoh transformasi itu.

“Dunia berada di tengah-tengah Revolusi Perindustrian Keempat - satu daripada asas yang kukuh dalam ekonomi digital.

“E-dagang akan memanfaatkan masyarakat Malaysia dalam pelbagai aspek. Selain mempromosi pembangunan luar bandar dan rangkuman ekonomi, ia juga mewujudkan dorongan kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk menginovasi dan meneroka semangat berdaya usaha dalam kalangan generasi muda, terutama bagi mempercepat pembangunan perniagaan dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.

Wong adalah antara pihak daripada Alibaba Group yang berkongsi langkah-langkah yang diambil untuk terus menyokong pertumbuhan dan transformasi ekonomi digital Malaysia menerusi satu pembentangan di Hari E-Dagang Kebangsaan tahunan kedua Malaysia.

Dalam pembentangan itu, Wong menyediakan maklumat terkini yang komprehensif berhubung jumlah usahawan Malaysia yang memperoleh manfaat daripada kursus-kursus di pelbagai institusi Alibaba seperti Sekolah Perniagaan Alibaba.

Beliau turut menyentuh berkenaan ‘DESA Project’ - program yang memperluas capaian dan peluang dalam ekonomi digital kepada masyarakat luar bandar di seluruh Malaysia.

“Program ini diwujudkan oleh empat syarikat tempatan susulan penyertaan mereka dalam Program Latihan Usahawan Internet (Netpreneur) Sekolah Perniagaan Alibaba,” katanya.

Projek DESA yang disokong Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Lazada dan rakan kongsi masing-masing bertujuan mewujudkan platform khusus untuk perniagaan di luar bandar menyertai dan menerima manfaat daripada ekonomi digital.

Diilhamkan menerusi konsep Taobao Village yang diperkenalkan semasa di China, produk penduduk kampung dihimpunkan dan mereka mempelajari bagaimana untuk menjual produk masing-masing di Taobao.

Projek perintis di Bentong, Pahang itu akan membantu pengeluar di luar bandar untuk memasarkan beras organik, halia, serbuk halia, sos soya dan kacang Sempalit kepada pengguna secara dalam talian sama ada di Malaysia atau pasaran baharu di seluruh dunia.

Alibaba Group memperkasa dan menyokong masyarakat di pelbagai peringkat termasuk sektor awam, swasta dan pendidikan menerusi pelbagai inisiatif membabitkan ratusan usahawan digital dan ribuan pelajar universiti.

Antara inisiatif itu ialah Bengkel Ekonomi Baharu, Program eFounders Fellowship, Latihan Netpreneur Alibaba dan program Bakat e-dagang Global (GET). - BERNAMA

Berita Harian X