Jumaat, 17 Januari 2020 | 6:10pm
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan. - NSTP/Mohamad Shahril
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan. - NSTP/Mohamad Shahril

Khazanah, PLUS umum butiran tol selepas rundingan

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd dan PLUS Malaysia Bhd akan mengumumkan butiran lanjut mengenai inisiatif penyusunan semula tol selepas mengadakan rundingan selanjutnya dengan kerajaan dan pihak berkepentingan utama lain.

Sayap pelaburan kerajaan itu akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dan PLUS bagi inisiatif penstrukturan tol yang diumumkan bagi memastikan ia dilaksanakan dengan berkesan untuk faedah pengguna

lebuh raya.

Ia juga bagi mengekalkan kepentingan dan hak semua pihak berkepentingan utama, termasuk pemegang hutang PLUS.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata pihaknya sedar kerumitan untuk memenuhi tuntutan semua pihak berkepentingan utama PLUS, khususnya rakyat Malaysia.

“Keputusan untuk mengurangkan kadar tol sambil memberi penjimatan yang ketara kepada kerajaan adalah langkah yang penting.

“Selain itu, keputusan untuk mengekalkan PLUS di bawah penguasaan pemegang saham sedia ada akan dapat memastikan mutu keselamatan, keselesaan serta kemudahan yang kini dinikmati oleh pengguna akan dapat terus dikekalkan.

“Langkah seterusnya adalah bagi membincang mengenai pelaksanaan insiatif ini dengan semua pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus akan membabitkan lebuh raya yang dikendalikan oleh PLUS iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Linkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Butterworth-Kulim dan Jambatan Pulau Pinang.

Kadar tol yang dikurangkan akan dikekalkan sepanjang tempoh konsesi lebuh raya yang akan dilanjutkan selama 20 tahun daripada 2038 kepada

2058.

Di samping itu, semua pampasan tol yang belum dibayar serta pampasan pada masa depan akan diketepikan, sekali gus memberikan penjimatan keseluruhan berjumlah kira-kira RM42 bilion kepada kerajaan.

Berita Harian X