Jumaat, 14 Februari 2020 | 7:55pm
Kok berkata, laporan Reuters itu tersalah petik yang beliau ada mengatakan bahawa Malaysia tidak lagi merancang untuk memfailkan pertuduhan WTO terhadap sekatan EU ke atas sawit. - Foto AFP
Kok berkata, laporan Reuters itu tersalah petik yang beliau ada mengatakan bahawa Malaysia tidak lagi merancang untuk memfailkan pertuduhan WTO terhadap sekatan EU ke atas sawit. - Foto AFP

'Malaysia tidak berganjak fail tindakan ke atas EU'

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak menarik balik pilihan untuk memfailkan tindakan undang-undang Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap Kesatuan Eropah (EU) dan ‘Delegated Regulation’, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

“Kami melihat ‘Delegated Regulation’ merosakkan nama baik komitmen industri sawit Malaysia ke arah kelestarian mandatori kerana ia mewujudkan sekatan perdagangan tambahan dan menghalang usaha kita dalam rantaian bekalan sawit.

“Malah, pasukan undang-undang peringkat tertinggi Malaysia sedang meneliti ‘dengan analisis terperinci’ untuk menjadikan petisyen itu sukar dipersoalkan.

“Justeru, kami sentiasa bersetuju untuk turut serta sebagai pengadu bersama dan menyertai Indonesia serta pengeluar sawit lain terhadap pertuduhan WTO ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab satu laporan Reuters bertajuk ‘Malaysia tarik diri daripada tuduhan WTO terhadap EU berhubung sawit’.

Kok berkata, laporan Reuters itu tersalah petik yang beliau ada mengatakan bahawa Malaysia tidak lagi merancang untuk memfailkan pertuduhan WTO terhadap sekatan EU ke atas sawit.

“Ini bukanlah maksud saya apabila wartawan Reuters itu menemubual saya di Brussels,” katanya.

Kok menjelaskan, di dalam temubual itu, beliau dengan jelas menekankan bahawa misi terbaharunya bertemu dengan pemimpin Eropah adalah untuk menerangkan usaha yang dibuat oleh kerajaan dan industri sawit Malaysia untuk menghasilkan sawit secara lestari serta pelbagai projek pemuliharaan mesra alam sekitar.

“Saya mengharapkan sokongan pemimpin EU terhadap persijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan menerima sawit yang mendapat persijilan MSPO ke Eropah.

“Ini sejajar dengan pengumuman tujuh negara EU dalam Deklarasi Amsterdam terhadap Sawit Lestari Sepenuhnya menjelang 2020,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X