Ahad, 16 Februari 2020 | 4:38pm
Ketua Pegawai Eksekutif Principal Asset Management Bhd (Principal), Munirah Khairuddin. - Foto Amirudin Sahib
Ketua Pegawai Eksekutif Principal Asset Management Bhd (Principal), Munirah Khairuddin. - Foto Amirudin Sahib

Pengusaha pengangkutan, restoran terkesan COVID-19

KUALA LUMPUR: Sentimen negatif penularan COVID-19 (coronavirus) dalam jangka pendek akan memberi kesan kepada perniagaan terutama dalam sektor pengguna, pengangkutan, restoran, pelancongan dan peruncitan.

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Asset Management Bhd (Principal), Munirah Khairuddin, berkata bagi Malaysia, sektor berkaitan pelancongan seperti lapangan terbang dan penerbangan akan terkesan oleh kejatuhan jumlah kedatangan pelancong dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, Principal sentiasa memantau rapat situasi berhubung penularan COVID-19.

“Di peringkat global, pasaran kewangan terjejas berikutan penularan COVID-19 kerana pelabur bimbang ia menjadi wabak seluruh dunia,” katanya.

Penularan COVID-19 yang bermula sebaik saja Washington dan Beijing memeterai sebahagian perjanjian perdagangan, mewujudkan ketidaktentuan kepada perniagaan yang mengeluar dan mendapatkan sumber dari China.

Berdasarkan sejarah, sentimen akan mula beralih apabila vaksin untuk wabak itu dicipta dan penularan virus mula berkurangan.

Munirah berkata, COVID-19 dijangka memberikan kesan kepada perniagaan dan pasaran kewangan, namun mempunyai impak lebih tinggi terhadap sentimen berbanding impak negatif bagi ekonomi.

“Kami percaya ini hanya satu peristiwa, bukan satu trend untuk pasaran,” katanya.

Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003 menyaksikan pasaran saham global menjunam, namun kembali pulih apabila penularannya dibendung.

Indeks S&P 500 jatuh kira-kira 10 peratus daripada permulaan tahun sehingga pertengahan Mac, namun berakhir meningkat lebih 26 peratus untuk seluruh tahun.

Malah, tindakan China terhadap penularan COVID-19 adalah proaktif dan telus, berbanding reaksinya yang lebih perlahan semasa penularan SARS sebelum ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X