Ahad, 16 Februari 2020 | 6:12pm

Pakej rangsangan tepati keperluan ekonomi semasa

KUALA LUMPUR: Pakej rangsangan yang bakal dibentangkan pada 27 Februari ini menepati keperluan semasa ekonomi negara dan berupaya mengurangkan impak susulan penularan COVID-19 (coronavirus), kata penganalisis dan ahli ekonomi.

Penganalisis Kanan MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata pakej rangsangan ekonomi itu akan disalurkan kepada sektor tertentu yang terkesan untuk mengurangkan impak penularan COVID-19 kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, ini termasuk sektor pelancongan, pembuatan dan sektor perdagangan.

“Kami berpendapat bahawa pakej rangsangan ekonomi ini amat bertepatan untuk memberi sokongan kepada ekonomi negara yang akan berdepan dengan gangguan akibat penularan COVID-19.

“Kami juga berpandangan bahawa pakej rangsangan itu juga akan mengambil kira langkah-langkah yang akan memberi sokongan kepada permintaan domestik, terutama perbelanjaan persendirian ” katanya kepada BH.

Pakar ekonomi, Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berkata, jumlah dana yang mencukupi manakala mekanisma penyaluran dana haruslah cepat dan tepat supaya perlaksanaan objektif tercapai.

Beliau berkata, industri pelancongan cukup terjejas, justeru bagi mengelakkan kerugian RM3 bilion yang dilaporkan oleh Kementerian Pelancongan, sesuatu yang drastik dengan menumpukan kepada pelancong tempatan perlu dilakukan.

Katanya, antara contoh adalah mengadakan pakej pelancongan yang menarik dengan menggabungkan syarikat penerbangan, perhotelan dan pelancongan melalui penggunaan e-dompet seperti memberikan rebat tunai, percutian percuma tambahan dan sebagainya.

“Sektor pembuatan berada dalam rangkaian bekalan bersama China dan negara Asia Timur, yang lain juga mestilah dibantu kerana ianya adalah sektor kedua terpenting negara iaitu 22 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Untuk langkah jangka masa panjang, Malaysia harus mempunyai rangka kerja mengembangkan pasaran melangkaui negara tradisional, mencari pasaran baru di Asia Barat, Afrika, Amerika Selatan dan Amerika Tengah.

“Keduanya, pasaran domestik Malaysia harus diperbesarkan, menggandakan kuasa membeli bagi menjana enjin ekonomi negara,” katanya.

Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, pakej rangsangan ekonomi menepati kehendak ekonomi negara kerana menyasarkan dua sektor industri yang terpenting di Malaysia iaitu sektor perkhidmatan terutama pelancongan dan sektor pembuatan.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan menyumbang sekitar 56 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sebelum ini sektor pembuatan adalah penyumbang yang terbesar.

“Oleh itu sewajarnya pakej ransangan ekonomi mensasarkan dua sektor terpenting ini. Selain itu kementerian yang lain juga boleh melakukan bantuan atau pakej ransangan yang terkini seperti Kementerian Pengangkutan melalui PSP dan Kementerian Kewangan melalui e-tunai dan BSH,” katanya.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pakej rangsangan ekonomi adalah bagi menampan kesan kelembapan ekonomi luaran terhadap prestasi ekonomi negara secara keseluruhan.

Justeru, katanya, ia bertujuan menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi domestik supaya dapat bertumbuh lebih pesat.

“Pakej ini seharusnya menyasarkan sektor ekonomi yang terkesan secara langsung akibat daripada penularan wabak COVID-19 seperti sektor perhotelan, agensi pelancongan, peruncitan dan sebagainya.

“Sekiranya dapat diberikan dana pinjaman yang dijamin kerajaan atau diberikan subsidi terhadap kadar faedah pinjaman terutamanya sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi dalam perniagaan yang berkaitan ianya dapat melegakan keperluan modal pusingan mereka.

“Selain itu, langkah untuk menambahkan wang tunai ke poket masyarakat juga boleh dipertimbangkan bagi merancakkan lagi perbelanjaan pengguna yang mana ianya mewakili lebih daripada 50 peratus dari KDNK negara.

Beliau berkata, langkah untuk menurunkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian pekerja juga boleh dilakukan bagi menambah pendapatan boleh guna rakyat.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X